Tuesday, September 29, 2009

Cerita di Hari Raya.

Mengimbau kembali zaman anak-anak dan zaman bujang kera" ketika menyambut aidil fitri merupakan nostalgia yang indah dan sesekali menyapa ingatan menyebabkan perasaan bercampur baur. Budaya "berlanggar"(menziarahi dan bertandang ke setiap rumah di kampung) hampir tidak ada. Kalau tak sanak saudara yang berziarah rasanya mungkin suasana raya akan semakin pudar dan hambar. Dulu kami akan membentuk satu kumpulan untuk berlanggar ke seluruh kampung. Biasanya kami akan berlanggar pada waktu malam. Bukan nak makan kueh atau menjamu selera semata-mata tetapi lebih daripada itu ia mewujudkan suasana yang meriah dan merapatkan silatur rahim. Suasana raya akan bertambah meriah kerana kebiasaannya orang kampung akan memilih untuk berkahwin pada cuti hari raya.
Tahun ini, terasa sambutan raya tidak semeriah seperti dulu. Banyak peristiwa sedih berlaku. Nenda tersayang pergi buat selama-lamanya pada awal ramadan. Kemudian seorang teman yang pernah bertugas bersama pun pergi ke alam yang kekal. Dua hari lepas pulak, pangkat emak manakan pergi setelah mengalami komplikasi selepas pembedahan di bahagian kepala. Saya masih teringat dengan kata-kata arwah ketika saya menziarahinya di hospital sebelum raya tempoh hari. " Is... mun di takdirkan setakat tuk ajak usu, usu reda. Reda dan nerimak ajak setakat yang Dia berikan dan pinjam kepada usu". Kata-kata itulah yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga. Semalam jenazah arwah telah disemadikan. Melihat tetamu yang hadir menziarahi, saya yakin semua yang tinggal menyayanginya dan doa kami moga rohnya ditempatkan bersama orang -orang yang terpilih di sisi Allah SWT. Amin....
Takziah kepada keluarga Councillor ( Ahli Majlis Perbandaran Padawan) Tuan Hj. Ahmad Kamaruddin Tan Sri (Datuk Seri) Mohamad Su'aut.

Friday, September 18, 2009

Salam Idul Fitr


Salam idul fitr buat semua teman-teman dengan iringan doa tulus ikhlas moga amalan di sepanjang ramadan mubarak diterima Allah SWT. Maaf zahir batin.

Hari Raya adalah hari kita mermbesar Allah, hari kemenangan dan hari kegembiraan. Ia adalah hari yang diperuntukkan oleh Allah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan Allah yang tak terhitung kepada hambaNya. Anehnya dalam masyarakat kita Hari Raya lebih menggambarkan hari yang penuh dengan kesedihan, kepiluan dan kita sering terjebak dalam suasana sedih dan pilu tersebut. Alunan takbir raya yang seharusnya memberi semangat bertukar kepada alunanan yang mendayu-dayu dan menimbulkan suasanan sedih. Malah pengisian program di saluran TV di negara kita pun, banyak menayangkan drama dan suasana yang sedih pada hari Raya.

Di sudut hiburan pula, islam memberi ruang yang luas kepada kita untuk bergembira asalkan tidak menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Terpulang kepada kita bagaimana kita memahami dan menghayati kegembiraan tersebut.

Hiburan dengan batasan tertentu serta disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.a.:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

“Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hiburan yang keterlaluan dan melampauai batasan yang digaris agama juga tidak dibenarkan dalam islam. Saya tertarik apabila ada yang menyatakan amalan ziarah menziarahi seperti suatu ketika dahulu semakin berkurangan kesan pengaruh program hiburan yang terlalu banyak dalam TV.

Amalan kunjung-mengunjung atau ziarah menziarahi seharusnya diteruskan sebagai tanda persahabatan dan ukhuwah sesama kita. Saya masih teringat dengan zaman anak-anak dan remaja di kampung ketika hari raya dimana kami akan membentuk satu kumpulan untuk menziarahi ( istilah "berlanggar ") dari satu rumah ke satu rumah yang lain dalam kampung. Keadaan inilah yang menimbulkan suasana meriah pada hari raya. Beberapa tahun kebelakangan ini suasana tersebut semakin pudar dan kunjungan pun hanya dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.

Thursday, September 17, 2009

Kalungan Selipar untuk Negarawan

Bila emosi, perasaan marah tanpa pertimbangan akal yang waras inilah jadinya. Merenung fikir senario yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak meresahkan saya. Sudah hilangkah adab dan budaya menghormati segelintir masyarakat kita pada hari ini? Atau atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi kita bebas mengeluarkan apa saja seenaknya dari mulut kita tanpa memikirkan bahananya. Menidakkan sumbangan pemimpin negara kepada semua kaum di negara ini adalah suatu yang tidak dapat diterima. Jangan kerana rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu atau perkara kita terus bertindak diluar batasan yang kesannya menjadi begitu besar/serius jika tidak ditangani dengan bijak.

16 September yang dilupakan

Perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 sehinggalah membawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Segala-galanya bermula dengan pandangan futuristik daripada negarawan Allahyararham Tunku dengan idea gagasan Malaysianya pada 27 Mei 1961. Cadangan pembentukan Malaysia yang melibatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura dengan Tanah Melayu mendapat reaksi yang pelbagai daripada negara-negara serantau.
Walau apa pun, akhirnya Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kekal dalam pembentukan Malaysia sehingga kini walaupun Singapura keluar daripada Malaysia selepas itu. Bagi saya sejarah pembentukan Malaysia begitu penting dalam lipatan sejarah pembinaan negara bangsa. Anehnya dan sering menjadi tanda tanya mengapakah tarikh keramat 16 September setiap tahun seolah-olah tidak bermakna tanpa ada usaha kerajaan untuk menjadikan tarikh bermakna dalam kalender sambutan perayaan di dalam negara.

Monday, September 14, 2009

Akhir Ramadan

Rasanya Ramadan berlalu pergi begitu cepat dan terlalu pantas. Terlalu kurang amalan yang seharusnya kuisi sepanjang ramadan ini. Dan 5 hari terakhir ini seharusnya tidak disia-siakan. "Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk mengerjakan amal ibadah pada saat-saat perginya ramadan." Aku tidak mahu termasuk dalam kalangan mereka yang rugi dan gagal merebut peluang dalam bulanMu ini". Amin Ya Rabbul Alamin.

Malingsia - Menilai kemelut dengan Indonesia


Pelbagai label diberi kepada negara kita disebabkan pelbagai isu yang dilihat terlalu besar oleh rakyat Indonesia. Yang terbaharu ialah isu tarian pendet. Seperti selalunya demonstrasi jalanan dan menyerang kedutaan negara di sana serta mengancam dan mengugut rakyat kita dilakukan oleh segelintir mereka yang tidak berpuas hati.
Tindakan sweeping oleh kumpulan yang membawa buluh runcing sedikit sebanyaknya mengundang resah dan ketakutan dalam kalangan rakyat kita di sana atau keluarga di Malaysia. Tertanya-tanya juga, bagaimana perasaan orang Indonesia jika bendera mereka dibakar dan dipijak-pijak oleh rakyat Malaysia? Tetapi syukur Alhamdulillah, kita tidak terikut-ikut dengan sikap yang seolah-olah tidak bertamadun seperti itu.
Rakyat Malaysia tidak sebebal dan cetek pemikiran untuk bertindak ganas seperti itu. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian sesuatu isu melalui musyawarah, rundingan biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita. Ramai lagi rakyat Indonesia yang bijak menilai dan mampu melihat sesuatu perkara itu dengan lebih rasional tanpa dipengaruhi emosi dan perasaan.
Saya juga yakin rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara ini berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Secara faktanya Malaysia merupakan lubuk rezeki bagi rakyat Indonesia dan mereka bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini untuk dibawa pulang ke Indonesia. Hubungan yang baik atas nama rumpun melayu di Nusantara seharusnya dipertahankan, bukannya dikeruhkan dengan tindakan-tindakan ganas yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Hubungan rakyat Indonesia-Malaysia jangan disempitkan atas nama dua buah negara yang berdaulat, malah lebih daripada itu, kerana sejarah mebuktikan hubungan kekeluargaan telah berlaku sejak dulu lagi.
Benarkah kerana isu tarian pendet itu rakyat Indonesia sanggup melakukan keganasan dan provokasi terhadap negara kita atau ada agenda besar pihak-pihak tertentu yang didalangi oleh mereka yang berkepentingan. Doa kita agar isu tersebut dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan semangat setiakawan antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.

Wednesday, September 9, 2009

Bila ajal sudah tiba.....

Dua hari lepas saya sempat menziarahi jenazah seorang teman. Saya kesal kerana tidak sempat menziarahinya pada saat-saat akhir ketika beliau tenat sakit menghidap kanser darah dan ketumbuhan pada bahagian otak. Beberapa kali saya merancang untuk menziarahinya namun hajat saya tidak kesampaian sehinggalah beliau menghembus nafas terakhirnya. Alhamdulillah, saya sempat memberi penghormatan terakhir kepadanya dengan mengangkat jenazahnya ke dalam keranda untuk di bawa balik ke kampung menggunakan sebuah van.
Jenazahnya akan diuruskan mengikut adat orang iban dan agama kristen sebelum disemadikan pada hari ini. Melihat wajah isteri dan membayangkan anak-anaknya yang kehilangan ayahnya sebagai tempat bergantung dan mendapat kasih sayang membuatkan saya semakin sayu dan tersentuh. Semuanya menimbulkan rasa keinsafan dalam diri agar sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah selama ini. Teringat dengan maksud ayat Al Quran yang lebih kurang bermaksud, " Apabila datang ajal ia tidak akan terlambat atau tercepat walau sesaat pun".
* Teringat dengan arwah atuk yang sudah menyediakan semua peralatan untuk mengurus jenazahnya sewaktu hampir saat kematiannya.....

Friday, September 4, 2009

Allahyarham Nenda Haji Ahmad Buang yang tersayang.

Ketika Nenda di rawat kerana patah kaki akibat terjatuh

Bersama nenda pada Aidil Fitri yang lepas.

Hari ini merupakan hari ketujuh Allahyarham nenda kembali ke Rahmatullah. Insya Allah selepas solat Jumaat saya akan balik ke kampung untuk bersama saudara mara dan jiran tetangga bertahlil dan berdoa moga roh nenda ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh.
Teringat masa kecik-kecik saya sentiasa bersama nenda ke kampung-kampung mengajar ilmu agama dan saya ditugaskan menjadi muazzin ketika itu. Allahyarham banyak mengembara bukan sahaja di Tanah Melayu malahan ke Indonesia mempelajari Ilmu agama. Saya mengagumi nenda kerana Allahyarham bukan sahaja seorang guru agama, Imam masjid, guru Tarikat Qadariyah dan Naksabandiyah malah orang kampung juga mengingati beliau sebagai seorang pengarang cerita bangsawan. Beliaulah yang banyak menghasilkan skrip drama bangsawan yang dipentaskan sebagai hiburan orang-orang kampung ketika itu.
Saya pernah cuba membawa nenda untuk bertemu dengan anaknya hasil pengkongsian hidupnya dengan seorang wanita di Tanjung Pagar, Singapore puluhan tahun yang lalu namun ia menolak dengan alasan tersendiri. Sehingga ke akhir hayatnya kedua-duanya( Nenda dan anaknya Rafeah) tiada kesempatan untuk hidup bersama. Sebenarnya banyak cerita yang boleh dikongsikan tentang Arwah nenda. Doa daripada kami semua moga roh nenda ditempatkan bersama-sama orang yang terpilih di sisi Allah SWT. Amin...