Friday, November 20, 2009

Kemurahan hati pemerintah kepada Rakyat - SUBUR

Minggu lepas saya balik ke kampung. Saja nak menenangkan fikiran disamping hendak bertemu ayah dan sanak saudara di sana. Banyak cerita yang didengar. Duduk di warung emak manakan menjual cucur pisang sambil menghirup kopi pekat saya sempat berbual tentang beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan. Seronok juga mendengar ramai orang kampung yang mendapat bantuan daripada program E- kasih. "Berapa dapat?", sapa saya kepada Pak Usu. Dapat RM10 ribu tapi yang diberi hanya RM5500 saja. Ada potongan oleh pihak pejabat Daerah", jawab Pak Usu. Potongan apa? saja saya tanya untuk mendapat maklumat. "Entahlah, tak tanya pun", sambung pak usu. Saya bertanya kepada salah seorang lagi ibu tunggal yang kebetulan berada di situ tentang perkara yang sama. Jawapan yang saya terima sama seperti pak usu. Bermacam-macam persoalan timbul dalam benak fikiran saya. Sebelum ini pun ramai yang mendapat bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Terkini, kerajaan akan memberi bantuan beras pula. Dengar ceritanya mana-mana yang berdaftar dengan E-kasih secara automatis akan menerima bantuan beras subsidi (SUBUR) tersebut.

Saya tertarik dengan cerita seorang ibu tunggal yang menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap agihan beberapa bantuan kerajaan tersebut. Direnung fikirkan saya berpendapat ada benarnya apabila banyak perkara yang timbul dan kekeliruan yang berlaku seperti:

  • Sukarnya mendapat borang untuk mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan.
  • Borang agak terhad walaupun ada inisiatif daripada orang-orang parti mengedarkan borang tersebut.
  • Borang tidak terdapat di pejabat daerah kecil. Hanya terdapat di pejabat Daerah.
  • Kebanyakan yang mendapat borang adalah terdiri daripada sanak-saudara orang parti sahaja.
  • Tidak ada data yang lengkap tentang rakyat yang miskin.
  • Bantuan seharusnya secara menyeluruh tanpa mengambilkira fahaman politik.
  • Kerajaan seharusnya menubuh badan khas untuk mengenalpasti rakyat yang benar-benar layak mendapat bantuan daripada kerajaan.

Saya setuju dengan saranan oleh YB Awang Adek agar ada yang tidak ketinggalan mendapat bantuan kerajaan tersebut terutamanya mereka yang benar-benar layak. Ramai lagi sebenarnya yang memerlukan bantuan di luar sana. Sebelum balik saya sempat memberitahu beberapa orang kampung di situ agar dapatkan borang, kemudian isi dan hantar kepada pihak yang diamanahkan.