Sunday, August 29, 2010

Apa yang menghairankan.....

1. Bila kita ke EPF untuk menyemak caruman, dengan sekelip mata saja penyata dapat dikeluarkan melalui slip komputer, tetapi bila kita nak mengeluarkan simpanan, kena tunggu berbulan bulan.

2. Bila kerajaan menetapkan had laju lebuhraya setakat 110km sejam sahaja, tetapi masih membenarkan penjualan kenderaan yang mampu melepasi had laju tersebut sehingga dua kali ganda. Logik ka.. dimana mereka nak bawak kereta dengan kapasiti enjin yang besar.
3. Bilamana kakitangan kerajaan yang dibayar gaji dari hasil dan pendapatan rakyat berlagak sombong bilamasa berurusan dengan orang ramai. Orang ramai bukan rakyat ka?
4. Bila mengenangkan harga kereta Proton lebih murah di luar negara daripada di negara sendiri. Takan nak bagitau aku orang Malaysia ni kaya2 semua kut..
5. Walaupun berpuluh-puluh filem bollywood ditayangkan dengan hanya tajuk berbeza, tapi dengan plot yang sama, rentak tarian yang seiras dan pelakon2 yang serupa, masih ramai jugak yang berpusu-pusu untuk menontonnya dan sanggup duduk 2 jam di depan tv.
6. Bilamana perempuan ditinggalkan oleh lelaki, lelaki dituduh tidak setia, tetapi bilamana perempuan meninggalkan lelaki, lelaki pulak dikatakan tidak memenuhi citarasa.
7. Bilamasa kita menanyakan status berkenaan sesuatu permohonan kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan, jawapannya semua serupa....DALAM PROSES! Standard la tuh..
8. Bilamasa mengenangkan adat sopan santun kita untuk tidak menghabiskan juadah makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah bila kita mengunjung walhal dari segi agama mengatakan jangan membazir!
9. Bilamasa kita terlambat untuk membayar pinjaman bank, kita akan dikenakan faedah keatas bayaran tersebut, tetapi bila bank terlebih potong, kita kena tunggu sampai 4-5 bulan walaupun untuk mendapat 5 sen balik...tanpa faedah!.
10. Bilamasa kita terlambat untuk sampai ke lapangan terbang untuk check-in, kita akan didenda 25% dari tambang kapalterbang, tetapi bila penerbangan dibatalkan atau terlambat, satu benda pun kita tak dapat melainkan penat menunggu!
11. Kenapa pemilik teksi Bandaraya mengenakan tambang 50% selepas tengah malam sedangkan dibandaraya selalunya bercahaya terang (macam siang) dan kurang traffic jam pulak tu.. mungkin takut kena rompak.. tapi nak buat apa caj lebih pun kalau lepas tu kena rompak?
12. Bilamasa kita makan di restoran2 makanan segera kita dikenakan caj 10% cukai kerajaan dan 5% cukai perkhidmatan sedangkan cukai kerajaan itu adalah diatas untung syarikat dan cukai perkhidmatan tak pernah ada sebab semuanya layan sendiri?
13. Bilamana kerajaan menyarankan penggunaan ilmu IT kepada masyarakat sedangkan kakitangan kerajaan sendiri pulak tak tahu nak menggunakan e-mail ataupun komputer. Berapa banyak email yang tak berbalas..
14. Bilamasa agensi-agensi Kerajaan dan Jabatan berkanun menganggap seolah-olah semua orang tahu bagaimana nak isi borang mereka yang berkajang-kajang dan membawa dokumen yang "secukupnya" bila berurusan dengan mereka.
15. Bilamasa rakyat yang belum mempunyai tanah tak pernah berjaya didalam permohonannya sedangkan orang lain yang mempunyai tanah di merata-rata tempat dengan mudah mendapat lagi.
16. Bila kita melihat di kaca televisyen bahawa pengacara-pengacara muzik semuanya beriras mat dan minah saleh dan muka-muka melayu biasa tak laku langsung.
17. Bilamana telefon bimbit yang diusung kesana kemari, walaupun tak dipakai akan dicaj sekurang-kurangnya RM60 sebulan. (Sekarang dah tak ada caj)
18. Walaupun kita tahu bahawa rancangan gusti di tv itu hanyalah lakonan semata-mata, tapi kita masih bermaki hamun dan bersorak bagai nak rak sedangkan kita tahu kalah atau menang, kesemua pengusti tersebut dapat duit banyak.
19. Bilamasa sesuatu "traffic jam" terjadi semasa hujan lebat hanya kerana pemandu memperlahankan kereta untuk melihat air yang berlalu deras didalam longkang.
20. Bila mendengar pengulas sukan kita boleh bersajak dan berpuitis ketika mengulas siaran langsung sesuatu acara sukan.
21. Bila kita menanyakan kawan kita alamat rumahnya. dia menjawab " mamat@yahoo.com"
22. Bila mengenangkan pada suatu masa dulu pemain bolasepak liga profesional boleh mendapat hingga RM10000 sebulan bermain bola macam budak sekolah sedangkan graduan universiti yang bertungkus lumus selama lapan belas tahun kat sekolah hingga pusat pengajian tinggi menerima gaji permulaan hanya RM1700.00 sebulan.
23. Apabila orang ramai merungut semasa gaji kakitangan kerajaan dinaikkan kerana takut harga barangan pun meningkat, tetapi tidak menyoal pulak apabila harga barangan naik tetapi gaji kakitangan kerajaan masih ditakuk lama.
24. Apabila surat menyurat kepada Jabatan kerajaan hilang dalam perjalanan ataupun mengambil masa 4 bulan untuk dijawab.
25. Bilamasa melihat harga telefon bimbit sekarang lebih murah daripada sewa taliannya.(dulu)
26. Bila komputer canggih yang kita beli hari ini dah "out-of-date" selepas sebulan dan kita pun maseh belum habis pelajari kesemuanya fungsinya.
27. Bila melihat harga baju kanak-kanak lebih mahal dari baju dewasa.
28. Bila pos laju mengambil masa seminggu untuk sampai.
29. Bilamana kita membayar RM1.20 untuk membeli surat khabar yang penuh cerita rogol, kes khalwat, serta kisah sensasi artis-artis.
30. Bila kita membeli TV 29" tetapi hanya dapat menonton 20" sahaja bila selebihnya dilingkungi dek iklan.
31. Bilamasa teknologi internet sekarang membolehkan seseorang membeli sayur segar menggunakan e-commerce sedangkan laman yang menawar khidmat itu terletak di California , USA .
32. Bilamasa kita demam dan ke klinik untuk berjumpa doktor, kita membayar RM30 hanya untuk sepeket pil panadol sambil diberitahu doctor yang kita ni demam.
33. Apabila kita ke kedai komputer untuk mendapatkan maklumat sesuatu komponen, jurujual menjawab "sikit jam ah.. saya mau tanya tauke".
34. Bilamasa syarikat bas mengenakan tambang yang pelik seperti RM1.75 sambil menyuruh kita menyediakan duit secukupnya sebab lebihan tidak akan dipulangkan, walaupun kita tahu kita jarang sekali menggunakan duit 5 sen.
35. Bilamasa melihat eksekutif2 masih memakai kot dan tali leher semasa makan tengahari kat warong tepi jalan walaupun cuaca panas terik.
36. Bilamana penggemar2 dan pemilik kereta bermegah dengan kereta mereka yang berkuasa besar walaupun sedar yang had laju jalanraya disini hanyalah 110km sejam.
37. Bilamasa kita melihat format pertandingan liga bolasepak negara ditukar setiap musim walaupun sedar yang tahap permainan tetap menurun.
38. Bilamasa F.A.M mencari punca terjadi pergaduhan didalam sesuatu perlawanan liga bolasepak negara sedangkan setiap pasukan diberi gelaran nama "binatang".
39. Bilamasa pemilik kenderaan terpaksa membayar cukai jalan setiap tahun tetapi jalanraya hanya dibaiki lima tahun sekali.
40. Bilamasa artis sanggup menukarkan nama yang mak bapa berikan supaya lebih glamour.
41. Bila pemandu tidak sanggup memberi peluang pemandu lain memotong, tetapi sanggup berhenti untuk mengajak pemandu lain bergaduh ditepi jalan.
42. Bila seorang Pak Aji boleh memberikan komen terhadap kebesaran buah dada seseorang perempuan.. pelik sungguh bila melihat perempuan berjalan hanya matanya kat situ aje..
43. Bilamana pelanggan di McDonald's membeli air "diet coke" sedangkan mereka juga membeli BigMac yang penuh lemak.
44. Bilamana pelanggan diherdik dan dimarahi apabila berurusan dengan Jabatan kerajaan kerana tidak tahu mengisi borang sedangkan Piagam Pelanggan mereka begitu puitis sekali.
45. Bilamana orang2 muda sekarang cepat beruban.
46. Bilamana lebih ramai orang, masa kerja ponteng kehulu kehilir tapi bila lepas waktu kerja baru sibuk nak buat overtime.
47. Bilamana ramai yang memberi nasihat yang merosakkan dari nasihat yang baik.
48. Bilamana di setiap rumah murah terdapat kereta yang harganya lebih mahal.
49. Bilamana ditanya apa yang dibentang dalam belanjawan hari ini Cuma bab bonus sahaja yang hanya diingati.
50. Bilamana seseorang suami mendapat sesuatu dari isteri hanya setelah siisteri mendapat sesuatu darinya terlebih dahulu.
51. Bilamana banyak kejadian rogol atau mencabul kehormatan berlaku, masih ada yang ke tempat kerja dengan pakaian yang seksi (baju tanpa lengan dan skirt pendek nampak peha).
52. Bilamana kerajaan mengagung-agungkan MSC masih ramai rakyat buta IT, tak mampu nak membeli komputer, masih menggunakan Dail Up Modem yang terlalu lembab dan membiarkan bayaran langganan untuk ISDN yang terlalu mahal.
53. Ramai orang yang maseh menghisap rokok di luar KLIA, terutamanya kakitangan KLIA sendiri, sedangkan KLIA sendiri memaparkan amaran 'DILARANG MEROKOK' pada setiap pintu kaca di luar KLIA.
54. Di stesen minyak dilarang keras merokok, tapi kenapa mereka sendiri yang menjual rokok di situ.
55. kedai makan orang kita, menunggu makanan yang dipesan sampai setengah jam, bila ditanya balik "sekejap" jawapnya, padahal lupa, time nak bayar tiada wang kecik pula.....
56. Bilamana berlaku kesesakan jalan raya disebabkan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan semata-mata hendak melihat kemalangan yang berlaku. Yang menolong sorang dua sahaja.
57. Bilamana ada attendent di hospital/klinik dan pusat kesihatan lebih berlagak daripada jururawat atau doktor.
58. Bilamana setiap kali "mega sale" atau apa juga "sale" kita terpaksa membayar untuk mendapat barangan free. Sebenarnya tidak ada yang free...
* Mungkin ada lagi sesuatu yang menghairankan anda untuk dikongsikan bersama....

Monday, August 23, 2010

Melihat dari sudut yang berbeza.

Saya suka berkongsi dua situasi yang berbeza untuk renungan kita bersama.


Peristiwa 1:

Suatu petang si ayah membawa anak-anaknya pusing-pusing berjalan di tengah kota. Hujan turun dengan lebat walaupun pada awalnya cuaca nampak baik. Teringat dengan joke seorang kawan (ada benarnya) "hujan membawa rahmat, tetapi kalau dah hujan turun tanpa henti akan ada yang 'ke rahmatullah'. Sedang mereka menyusuri jalan yang kadangkala air melimpah ke atas jalan raya, si ayah ternampak seorang lelaki dengan anaknya menaiki motosikal. Anak itu nampak kesejukan apatah lagi hujan turun disertai angin yang bertiup deras. " kasihan, kata si ayah. "kamu nampak tak orang yang naik motosikal itu?."tanya si ayah kepada anak-anaknya. Anaknya yang sedang leka dengan permainan PS nya melihat ke arah motosikal. "Kamu beruntung, kita ada kereta dan kita dapat berlindung daripada hujan.Kita boleh bergerak ke manan saja kita suka dalam bandar ni." ujar si ayah. Belum sempat si ayah menyambung kata-katanya..., si anak mula bersuara; Ayah, best kan kalau kita naik motosikal seperti mereka. dapat bermain hujan. Ayah, saya pun teringin nak naik moto seperti mereka dan bermain dalam hujan....

Peristiwa 2

Si suami dan si isteri dalam perjalanan balik selepas shoping. Panjang senyum si isteri (sampai ketelinga) kerana banyak yang diidamkan dapat ditunaikan oleh si suami. Si suami mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Sesekali dia menekan pedal brek secara mengejut disebabkan oleh lalu lintas yang sesak dan kedapatan motosikal yang masuk mencelah di antara kenderaan sepanjang jalan. Tiba-tiba pandangan si suami dan si isteri tertumpu kepada dua pasangan yang mengangkat tangan meminta untuk menyeberangi ke seberang jalan raya. Pasangan yang melintas jalan raya tadi menarik perhatian si isteri. Seorang lelaki tua dan seorang wanita yang muda dan cantik menawan. Maka berkatalah si isteri; "Syukurlah, dalam zaman kinek tok (zaman sekarang) ada anak yang baik hati, sanggup berjalan bersama ayah mereka". baik hati sungguh anaknya terhadap orang tua". Hai, sejuk mata memandang, sejuk perut mengandung,". melangit puji si isteri. Si suami hanya mendiamkan diri. Sesekali meleret senyumnya memandang wajah isterinya yang asyik memuji si anak dan si ayah itu tadi.

Selepas memberi laluan kepada pasangan tersebut, si suami mula bersuara; "Emaknya, rasa-rasanya abang kenal dengan orang tua tu. Wanita yang muda, cantik dan menawan itu pun abang kenal". Muka si isteri tiba-tiba berubah. "emaknya tahu tak, sebenarnya wanita cantik bergaya itu bukan anaknya. Dia adalah isteri baru kepada orang tua tu." tambah si suami. Si isteri mula menunjukkan rasa tidak senangnya...Tiba-tiba terpacul dari mulut yang manis memuji tadi; "Orang tua tak sedar diri. Dah tua pun nakkan perempuan muda. Itulah orang lelaki". Sakit mata saya bang". "Si perempuan tu pun tak tahu malu, banyak lagi anak-anak muda, orang tua cam tu yang dia pilih. Jangan-jangan permpuan tu nak kan harta dia saja tu". Nada geram suara si isteri semakin kuat.


* Saya membawa cerita ini untuk kita berfikir bagaimana dalam pelbagai situasi manusia melihat sesuatu perkara itu dalam perspektif yang berbeza. Cerita yang kedua yang diolah secara ringkas menunjukkan bagaimana sikap dan pandangan seseorang boleh berubah sebegitu cepat... (Wanita/lelaki tidak semuanya begitu)
Apa komen anda?

Saturday, August 21, 2010

Sedikit coretan buat Wanita...


Jika ingin bentuk bibir yang menawan, bukan dengan mencalit lipstik dengan warna idaman.. tetapi bentuklah ia dengan ucapan kata-kata kebaikan.
Inginkan mata yang cantik menawan dan indah; bukan hanya mencalit pewarna mata... tetapi sebenarnya adalah dengan mencari dan memandang kebaikan pada setiap orang yang anda temui.
Nak dapatkan potongan badan yang langsing dan mengkagumkan; bukan dengan berdiet semata-mata, tetapi berbagilah makanan dengan mereka yang kelaparan.
Rambut yang indah tentulah menjadi idaman wanita, bukan syampoo, bukan pewarna yang diperlukan tetapi urutan/belaian penuh kasih ke atasnya. Bagi si ibu mintalah seorang anak kecilmu untuk menyisirnya dengan jari jemarinya setiap hari, kerana anak kecil itu sememangnya penuh kasih sayang dihati.
Bagi mendapat perwatakan atau sikap tubuh yang indah; berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan, nescaya anda tidak akan pernah berjalan sendirian.
Manusia, jauh melebihi segala ciptaanNya yang lain; perlu sentiasa berubah, diperbaharui, dibentuk kembali dan diampuni. Jadi, jangan pernah kecilkan seseorang dari hati anda. Apabila anda sudah melakukan semuanya itu, ingatlah sentiasa; Jika suatu ketika anda memerlukan pertolongan, Insya Allah akan sentiasa ada tangan terhulur buatmu.
Dan dengan bertambahnya usia anda, anda akan semakin mensyukuri nikmat yang telah diberi pada dua tanganmu; satu untuk menolong diri anda sendiri dan satu lagi untuk menolong orang lain.
Tetapi, sebenarnya, Kecantikan wanita bukan terletak pada pakaian yang dikenakannya, bukan pada bentuk tubuhnya, atau cara dia menyisir rambutnya. Kecantikan wanita terdapat pada matanya; cara dia memandang dunia kerana di matanya terletak gerbang menuju ke setiap hati manusia, di mana cinta dan kasih sayang dapat berkembang.
Kecantikan wanita bukan pada kehalusan wajahnya, tetapi kecantikan yang murni, terpancar pada jiwanya, yang dengan penuh kasih sayang memberikan perhatian dan cinta yang dia berikan. Sesungguhnya kecantikan itu akan tumbuh sepanjang waktu buatnya.

Thursday, August 19, 2010

Ibadah Puasa...

Salam Ramadan al mubarak. Ramadan kareem...
Alhamdulillah, hari ni masuk hari ke 9 kita menjalani ibadah puasa. Allah peruntukkan bulan ramadan sebagai bonus besar yang harus direbut oleh setiap umat islam. Namun dalam masa yang sama masih ada lagi perbezaan pendapat tentang solat tarawih sama ada dikerjakan sebanyak 8 atau 20 rakaat. Seharusnya isu ini tidak timbul kerana terpulang kepada individu masing-masing dengan kekuatan imannya untuk beribadah kepada Allah. Kebanyakan masjid dan surau melakukan solat tarawih 20 rakaat, namun selepas 8 rakaat bilangan jemaah akan berkurangan.
Bersembang dengan teman-teman,banyak rungutan didengar apabila berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada bulan yang mulia ini. Ada jemaah yang kehilangan sandal atau selipar semasa beribadah di masjid dan surau-surau. Ada pula kereta dipecah masuk oleh pencuri semasa jemaah sedang bersolat. Dalam kebanyakan umat islam beribadah, ada yang mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara yang yang mengundang rasa resah dalam kalangan jemaah.
Dalam pada itu, ada juga sekelompok manusia yang pergi ke masjid tetapi lebih suka berkumpul di satu sudut atau di luar masjid dan surau bersembang sambil minum dan makan juadah yang disedekah untuk para jemaah di masjid.Kebiasaannya juadah tersebut disediakan untuk para jemaah solat tarawih dan mereka yang bertadarus Al Quran. Rugilah jenis manusia yang ada kesempatan untuk beribadah tetapi mensia-siakannya walaupun sudah berada di masjid.

Wednesday, August 11, 2010

Tip Kesihatan Sepanjang Bulan Ramadan Kareem.


  1. Elakkan mengambil makanan yang terlalu berminyak dan banyak lemak.

  2. Kurangkan juga makan maknan yang pedas-pedas, masin, bergoreng atau berminyak.

  3. Kunyahkan makanan yang dimakan perlahan-lahan.

  4. Makanlah sekadar yang perlu. Tidak terlalu kenyang dann seelok-eloknya berhenti makan sebelum kenyang.

  5. Elakkan makan berulamkan air.

  6. Jangan tidak sahur/ (banyak fadhilat bersahur). Elakkan tidur selepas sahur.

  7. Ambil makanan yang lambat hadam dan mengenyangkan semasa bersahur. Contohnya makanan yang mengandungi serat dan karbohidrat kompleks seperti roti, pisang, epal, anggur, kubis, kubis bunga, tomato dan brokoli.

  8. Anda juga perlu mengambil makanan yang mengandungisedikit gula. Ini penting untuk mengembalikan tahap glukosa dalam badan.

  9. Semasa berbuka, mulakan makan degan makanan yang manis seperti buah kurma, tamar dan air.

Agar sentiasa sihat sepanjang bulan ramadan pastikan anda memilih makanan yang seimbang yang dibahagikan kepada 5 kumpulan seperti di bawah:

  1. Roti dan bijirin
  2. Susu dan produk tenusu
  3. Daging dan kekacang
  4. Sayur dan buah-buahan
  5. Lemak & gula ( ambil dalam jumlah yang sedikit sahaja)

Wednesday, August 4, 2010

Belajar secara bijak - Menjelang peperiksaan

  • Bertenang dan melapangkan fikiran.
  • Lakukan ulang kaji bagi topik-topik yang penting.
  • Pastikan masa tidur mencukupi.
  • Jaga kesihatan.
  • Menjaga pemakanan- makan makanan yang berkhasiat dan berzat.
  • Membuat dan membaca nota-nota ringkas.
  • Bersenam atau melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh.
  • Beriadah dan berekreasi - badan yang cergas merangsang otak yang cerdas.
  • Belajar pada waktu yang sesuai.
  • Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan rakan-rakan.
  • Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.
  • Datang ke dewan peperiksaan dengan lebih awal.
  • Menyediakan semua kelengkapan peperiksaan yang diperlukan.
  • Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan - penting untuk tenaga fizikal dan minda.
  • Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah menjawab sebelum dan selepas peperiksaan.
  • Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.
  • Membaca debgan teliti arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.
  • Menjawab soalan berpandukan solan yang telah dipilih.
  • Pastikan menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang dinyatakan.
  • Bagi pelajar Islam, perbanyakkan soalan hajat.
  • Bagi penganut agama lain, memohonlah kepada Tuhan dengan cara masing-masing.
  • Mohon doa dan restu daripada ibu bapa dan guru-guru.

Monday, August 2, 2010

Industrial Building System ( IBS ) - Pengalaman Baru .....







Minggu lepas saya mengikuti kursus latihan kemahiran Installer IBS ( IBS Light weight Block System) di bawah program pembangunan usahawan IBS & Hardware anjuran pihak MARA negeri di Merdeka Palace dan ABB Trading bermula 27 hb sehingga semalam (1 ogos 2010). Meskipun kursus ini jauh bezanya daripada profesion saya yang terdahulu, namun ia amat menarik dan saya dapati banyak bidang lain yang saling berkaitan yang boleh diceburi.


Semasa kursus dijalankan kami sempat juga didedahkan dengan industri burung walit yang nampaknya mempunyai potensi yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Walaupun terasa agak penat dan sedikit meletihkan kursus ini mendedahkan banyak pengetahuan dan pengalaman baru kepada saya.
Sekarang saya menunggu "kad Hijau" yang mesti dimiliki oleh setiap yang terlibat dalam industri binaan.