"Boleh jadi kamu membenci sesuatu pada hal itu amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui". 216 Surah Al Baqarah
Monday, June 7, 2010
Keganasan dan Kekejaman Zionis
Sejarah kekejaman rejim zionis terbuti lagi dengan tindakan ganas dan kejam tentera Israil ke atas Kumpulan Misi bantuan Kemanusiaan ke Gaza. Sampai bila dunia membiarkan mereka terus bermaharajalela tanpa menghormati kedaulatan negara lain. Sehingga kini Obama masih membisu walaupun bantahan dan kemarahan dunia semakin memuncak. Sebagai rakyat kecil kita sekadar hanya mampu melihat kekejaman Israil dengan perasaan benci, marah, kesal dan tercabar. Mana negara-negara Islam di dunia ini? Mana negara-negara Arab? Sampai bila kita hanya sebagai pemerhati saja atau penerima sahaja? Soalnya bukan kerana Palestin semata-mata, malah sekiranya berlaku kepada negara-negara lain pun kita tidak harus berkompromi atas nama kedaulatan dan kemanusiaan.
Tuesday, June 1, 2010
Selamat Hari Gawai
Teringat dengan kuih cina, kuih chap, kuih jala dan pelbagai kuih tradisional yang lain semasa menyambut perayaan Hari Gawai. Semuanya tetap indah terpahat dalam memori ingatan sejak zaman kecilku. Kepada teman-teman yang menyambut perayaan Hari Gawai diucapkan; Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang".
Tuesday, May 25, 2010
IPTA atau IPTS
Sekarang peluang melanjutkan pelajaran terbuka luas kepada sesiapa saja yang hendak menimba ilmu atau dalam bahasa yang mudah untuk meningkatkan diri khususnya dalam kerjaya. IPTS tumbuh bak cendawan. Di mana-mana jua terutamanya di bandar- bandar utama di negara ini terdapat banyak kolej dan Universiti dibina. Banyak IPTS khususnya menawarkan tempat kepada lepasan SPM dan STPM dengan pelbagai pendekatan. Antara yang dilakukan ialah dengan membuat tawaran terus kepada pelajar disamping membuat roadshow. Soalnya mungkin kesedaran dan persepsi masyarakat terhadap IPTS agak terbatas menyebabkan rata-rata pelajar mengharapkan tawaran daripada IPTA. Yuran kemasukan ke IPTS juga agak tinggi berbanding dengan IPTA. Mentaliti masyarakat menganggap bahawa IPTA yang dinaungi oleh kerajaan adalah lebih terjamin dan mudah untuk mendapat pelbagai bantuan termasuk biasiswa. Pengalaman diri sendiri dan melihat teman-teman yang menghantar anak belajar sama ada di IPTA atau IPTS wajar dijadikan pengajaran memandangkan banyak persediaan yang perlu dibuat dan yang paling penting dan utama setelah mendapat tempat di IPTA dan IPTS ialah Pulus. Tanpa simpanan ( atau mungkin tidak ada atau tidak cukup untuk disimpan), tidak hairanlah ada yang menarik diri dan ada pula yang menggadaikan harta benda dan menjual harta pusaka seperti tanah bagi meneruskan cita-cita si anak.
Monday, May 17, 2010
Salam Hari Guru 2010
Salam dan Selamat Hari Guru buat semua warga Pendidik di seluruh Negara. Hari guru, Guru lah yang meraikannya. Tak ada cuti khas buat guru seperti cuti umum yang lain sedangkan guru merupakan pejawat awam yang teramai di negara ini. Terima kasih kepada yang menghargai pengorbanan guru selama ini. Hakikatnya, hanya guru yang mengetahui betapa beratnya tanggungjawab tugas sebagai guru. Banyak beban tugas guru yang tergalas di bahu guru yang masyarakat di luar sana kebanyakannya tidak memahaminya. Kepada semua guru, laksanakanlah tugas dan amanah dengan ikhlas dan kalau tak dapat ganjaran pada masa kini, Insya Allah ada ganjaran yang lebih besar nanti.
Tuesday, April 13, 2010
Buang bayi dan Pendidikan seks
Pelbagai perasaan timbul apabila menatap di ruangan akhbar yang memaparkan cerita tentang bayi yang menjadi mangsa nafsu rakus manusia yang hilang pertimbangan akal dan perasaan kasih sayang. Maka hebohlah di seluruh negara. Pelbagai pendapat daripada pelbagai lapisan masyarakat dari pemimpin negara, ahli politik, NGO, ahli agama, ahli akademik, orang perseorangan sehinggalah menjadi topik hangat di kedai kopi. Saya tertarik dengan saranan agar pendidikan seks di ajar di sekolah sebagai langkah awal bagi membendung kes-kes pembuangan bayi.
Saya kesian dengan kaum guru yang akan dibebankan dengan tugas baru setiap kali ada masalah sosial atau apa saja yang berkaitan dengan kepentingan awam. Dulu apabila timbul masalah peningkatan kadar jenayah, maka setiap sekolah dikehendaki menubuh kelab pencegahan jenayah. Satu ketika timbul pula isu alam sekitar maka nilai alam sekitar pun di arah diterapkan dalam setiap mata pelajaran. Kelab alam sekitar pun ditubuhkan di sekolah sebagai aktiviti ko kurikulum. Begitu juga dengan penerapan nilai dalam aktiviti P & P sebagai satu langkah untuk memastikan nilai-nilai murni akan terdidik dalam setiap diri murid sekolah. Pendekatan ini diambil sebagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin, sikap dan nilai budi pekerti yang difikirkan semakin terhakis dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Begitu juga dengan masalah kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan terutama apabila tiba musim perayaan atau cuti panjang. Ekoran daripada masalah yang timbul, maka pendidikan keselamatan jalan raya pun dimasukkan dalam mata pelajaran di sekolah. Apa yang menarik dan ingin saya perkatakan di sini ialah setiap kali ada masalah yang membabitkan masyarakat terutamanya yang bertentangan dengan nilai-nilai dan norma masyarakat, maka kaum guru lah yang akan diberi peranan untuk mengatasinya. Bagi saya pendidikan seks di sekolah ada pro dan kontranya. Saya bukan menentang pendidikan seks di ajar di sekolah namun sebelum sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan, kajian secara menyeluruh adalah amat penting dan perlu dengan mengambilkira pelbagai faktor dan keperluan. Jangan kerana sesuatu masalah yang timbul dalam masyarakat maka guru akan diberi satu lagi tanggungjawab bagi mengatasinya seolah-olah seperti memberi "panadol" kepada mereka yang pening kepala. Saya secara peribadinya melihat perkara ini dibuat secara "ad hoc" sahaja. Melihat secara rasional, penglibatan semua pihak adalah perlu untuk menangani apa jua masalah sosial dalam negara kita dan bukannya meletak secara total atas bahu guru-guru yang memang sudah senget oleh beban yang sedia ada.
Tuesday, April 6, 2010
Menziarahi Teman
Semalam saya berkesempatan menziarahi seorang teman yang terlantar sakit di Hospital (NMC). Melihat teman dalam keadaan yang lemah di atas katil wad pesakit timbul rasa keinsafan dalam diri. Betapa besarnya nikmat sihat yang dianugerahi Allah kepada kita. Sebelum inipun saya sempat juga menjenguk seorang lagi teman yang terlantar di Hospital Umum Sarawak. Doa saya moga mereka dalam kalangan mereka yang sabar dan tabah dengan ujian Allah dan cepat sembuh daripada penyakit yang dideritai.
Adab-adab menziarahi pesakit.
Adab-adab menziarahi pesakit.
- Mendoakan pesakit agar cepat sembuh.
- Memberi nasihat agar sabar dan tabah.
- Menyampaikan ucapan yang baik yang dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya. Cth: " Tidak apa-apa, Insya Allah lekas sembuh",.
- Pendekkan waktu ziarah
- Jangan terlalu kerap. Jarakkan atau berselang hari.
- Sunat berdiri di sebelah kepala pesakit.
- Islam tidak menghalang kita menziarahi orang bukan Islam.
Doa yang boleh dibaca semasa menziarahi orang sakit: "Y a Allah, hilangkanlah penyakitnya, Wahai Tuhan bagi manusia. Sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMU jua sesuatu sembuhan yang tidak menyembuhkan sebarang penyakit". ( At-Tarmizi)
Sunday, February 14, 2010
Selamat Tahun Baru Cina
Thursday, January 21, 2010
Hendak Seribu Daya.....
Dulu saya perokok berantai. 2-3 kotak sehari adalah rutin dan menjadi kebiasaan. Membeli dalam satu-satu masa pun bukan sekotak dua malah se kartun. Sejak di bangku sekolah menengah lagi dah mula menghisap rokok bermula dengan rokok murah yang bermenthol. Kalau tak silap harganya 25 sen untuk 10 batang. Pelbagai jenis rokok di cuba pada peringkat permulaan dan rasanya tidak ada lagi jenis rokok jenama Rough Rider, White Horse, Merdeka, Rothman dan beberapa lagi yang sudah hilang dalam memori ingatan. Apabila terimbas kembali kenangan zaman lalu, hati rasa tercuit dan semuanya menjadi kenangan yang banyak mendidik diri kita.Saya tak makan ubat dan tidak ada petua untuk menghilang ketagihan merokok. Dengan keazaman dan semangat yang kuat saya berhenti merokok sejak belasan tahun yang lalu. Anehnya saya boleh menghisap rokok sekiranya ada kawan yang menghulur rokok atau sebagai santapan sampingan ketika lepak atau minum bersama rteman-teman di kedai kopi atau di mana sahaja. Pokok pangkalnya terpulang kepada diri kita sama ada kita nak berhenti merokok atau tidak. Kepada perokok di luar sana. Hormatilah orang lain yang tidak merokok. Jangan merokok di tempat awam yang telah diwartakan sebagai zon larangan merokok. Adakah kempen "Jadilah perokok yang berhemah". Saya berpendapat mengurangakan jumlah perokok mungkin dapat tetapi nak menjadikan ia sifar adalah mustahil selagi rokok masih dijual di negara kita. Rokok yang diseludup pun mudah diperoleh dan harganya pun jauh lebih murah.
Wednesday, January 20, 2010
Program Transisi - Menilai Relevensinya.
Minggu ini merupakan minggu ketiga sesi persekolahan tahun 2010. Minggu terakhir murid-murid tahun satu dikehendaki menyertai program transisi. Memang tidak dinafikan sesuatu yang dirancang adalah untuk kebaikan murid-murid tetapi menilai dari segi relevennya sesuatu program, saya berpendapat ia harus dinilai dan kajian secara tuntas perlu dibuat untuk menilai keperluan dan keberkesanannya. Program transisi adalah perancangan aktiviti suai kenal murid disamping pendekatan tematik untuk mendedahkan murid dengan alam persekolahan yang sebenar. Persolannya adakah semua sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman sesuai dengan program tersebut. Boleh dikatakan semua murid telah melalui alam pra sekolah malahan di setiap sekolah kini pun, telah ada kelas pra sekolah. Di sesetengah sekolah, murid tahun satu adalah terdiri daripada murid yang sama iaitu murid lepasan pra sekolah di sekolah yang sama. Pihak sekolah bukan setakat perlu memaklumkan tentang program tersebut malah pengisiannya juga perlu dimaklumkan kepada para ibu bapa agar tidak timbul rasa tidak senang dengan program tersebut. Tidak semua ibu bapa faham kan.
Tuesday, January 19, 2010
Salam Tahun Baru. - Ujian Hidup yang meresahkan.
Muhasabah diri. Melihat ke dalam diri terasa begitu kerdilnya diri di sisi Tuhan. Hanya doa penguat semangat dan azam untuk meneruskan perjalanan hidup yang sementara ini. Meminjam kata-kata Dr. Maza, ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara dan sapaan Allah kepada kita agar ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Dugaan dan ujian adalah kepada hamba-hambaNya yang mampu menghadapinya. Allah mengajar kita berdoa seperti doa Nabi Musa a.s. "Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir" Mudah-mudahan kehadiran tahun baru membawa sinar kebahagiaan dalam hidup kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)
