Monday, July 5, 2010

Piala Dunia - alahai...


"Bola itu bulat". Hanya yang terbaik dan bernasib baik akan menang. Itulah kata-kata yang dapat menggambarkan beberapa keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia. Sorang dua pemain bintang belum mencukupi untuk menjamin kemenangan sesuatu pasukan. Antara lain apa yang lebih penting ialah keserasian, komitmen, kesepasukan, kebijaksanaan, kekuatan mental & fizikal disamping nasib. Pasukan Malaysia bilalah agaknya?







Monday, June 21, 2010

UPSR & PMR dimansuhkan?

Cerita hendak memansuhkan UPSR dan PMR sudah kedengaran sejak setahun dua yang lalu cuma ia menjadi topik perbincangan hangat apabila Menteri Pelajaran menyentuh isu tersebut beberapa hari yang lepas. Sepintas lalu, ada kewajarannya, namun pada pandangan saya UPSR masih relevan dan perlu diteruskan. Dalam tempoh 6 tahun di sekolah rendah penilaian terhadap prestasi murid adalah perlu ke arah penarafan murid dan sebagai persediaan ke alam persekolahan sekolah menengah. Melalui penilaian yang dibuat murid-murid dapat ditempatkan berdasarkan pencapaian seperti di sekolah berasrama penuh, sekolah aliran agama dan juga sekolah- sekolah khas yang lain.
Berbalik pada PMR, memang tidak dinafikan sijil PMR bukanlah sijil yang digunakan untuk memohon pekerjaan namun untuk masa kini ia adalah salah satu mekanisme yang digunakan untuk menilai pencapaian murid secara menyeluruh dalam tempoh 3 tahun proses P & P dilaksanakan. Sekiranya PMR hendak dimansuhkan satu mekanisme penilaian yang relevan dan sistematik serta tidak membebankan guru harus difikirkan. Saranan agar pentaksiran berasaskan sekolah adalah jawapan untuk mengatasi isu yang timbul namun perancangan yang rapi adalah perlu dengan mengambilkira dari segi keperluan dalam penilaian dan menepati piawai yang dikehendaki.
Sistem sijil SPM terbuka bukan alasan untuk memansuh PMR semata-mata kerana dalam kita menyediakan murid untuk menduduki SPM, sekolah harus menyediakan keperluan awal murid untuk memilih aliran sama ada aliran sains, sastera, teknologi, teknik dan vokasional. ( mungkin bidang agama islam juga). Kita harus menilai setakat mana sistem pendidikan kita khususnya di sekolah pada masa kini dapat menyediakan ruang untuk murid memilih aliran atau jurusan yang sesuai dengan pencapaian mereka. Disamping itu, diharapkan juga tenaga pengajar dan kemudahan yang ada mencukupi di setiap sekolah agar tidak ada yang tertinggal atau lompang di mana-mana.

Saturday, June 19, 2010

Bahasa Mandarin & Tamil. Untuk Perpaduan?


Menguasai pelbagai bahasa adalah bonus bagi seseorang. Apa tidaknya, dengan menguasai pelbagai bahasa akan memudah proses berkomunikasi. Tetapi apabila ada cadangan untuk mengajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan terbit pelbagai reaksi yang nampak ada banyak pro dan kontranya.
Meskipun salah satu matlamatnya untuk menarik minat ibu bapa kaum cina dan india untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan namun alasan tersebut masih boleh dipersoalkan. Negara sudah merdeka 53 tahun dan perlembagaan negara jelas mendukung dasar bahasa kebangsaan dan dasar pelajaran. Dasar bahasa kebangsaan terus diharapkan sebagai bahasa perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Semua kaum di Malaysia seharusnya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebagai bahasa perpaduan dan amat menyedihkan selepas lebih lima dekad negara mencapai kemerdekaan ramai yang masih belum mampu menguasai bahasa Melayu atau lebih jelas tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Saya terfikir bagaimana susahnya belajar pelbagai bahasa etnik yang begitu banyak di Sarawak sekiranya menguasai pelbagai bahasa sebagai satu media untuk berkomunikasi dan perpaduan seperti cadangan yang dikemukakan tersebut.
Tetapi yang jelas, di Sarawak perpaduan dan integrasi dalam kalangan kaum khususnya Bumiputera bukanlah sesuatu yangterlalu mengusarkan.

Monday, June 7, 2010

Keganasan dan Kekejaman Zionis

Sejarah kekejaman rejim zionis terbuti lagi dengan tindakan ganas dan kejam tentera Israil ke atas Kumpulan Misi bantuan Kemanusiaan ke Gaza. Sampai bila dunia membiarkan mereka terus bermaharajalela tanpa menghormati kedaulatan negara lain.
Sehingga kini Obama masih membisu walaupun bantahan dan kemarahan dunia semakin memuncak. Sebagai rakyat kecil kita sekadar hanya mampu melihat kekejaman Israil dengan perasaan benci, marah, kesal dan tercabar.
Mana negara-negara Islam di dunia ini? Mana negara-negara Arab? Sampai bila kita hanya sebagai pemerhati saja atau penerima sahaja? Soalnya bukan kerana Palestin semata-mata, malah sekiranya berlaku kepada negara-negara lain pun kita tidak harus berkompromi atas nama kedaulatan dan kemanusiaan.

Tuesday, June 1, 2010

Selamat Hari Gawai

Teringat dengan kuih cina, kuih chap, kuih jala dan pelbagai kuih tradisional yang lain semasa menyambut perayaan Hari Gawai. Semuanya tetap indah terpahat dalam memori ingatan sejak zaman kecilku. Kepada teman-teman yang menyambut perayaan Hari Gawai diucapkan;
Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang".

Tuesday, May 25, 2010

IPTA atau IPTS

Sekarang peluang melanjutkan pelajaran terbuka luas kepada sesiapa saja yang hendak menimba ilmu atau dalam bahasa yang mudah untuk meningkatkan diri khususnya dalam kerjaya. IPTS tumbuh bak cendawan. Di mana-mana jua terutamanya di bandar- bandar utama di negara ini terdapat banyak kolej dan Universiti dibina. Banyak IPTS khususnya menawarkan tempat kepada lepasan SPM dan STPM dengan pelbagai pendekatan. Antara yang dilakukan ialah dengan membuat tawaran terus kepada pelajar disamping membuat roadshow.
Soalnya mungkin kesedaran dan persepsi masyarakat terhadap IPTS agak terbatas menyebabkan rata-rata pelajar mengharapkan tawaran daripada IPTA. Yuran kemasukan ke IPTS juga agak tinggi berbanding dengan IPTA. Mentaliti masyarakat menganggap bahawa IPTA yang dinaungi oleh kerajaan adalah lebih terjamin dan mudah untuk mendapat pelbagai bantuan termasuk biasiswa. Pengalaman diri sendiri dan melihat teman-teman yang menghantar anak belajar sama ada di IPTA atau IPTS wajar dijadikan pengajaran memandangkan banyak persediaan yang perlu dibuat dan yang paling penting dan utama setelah mendapat tempat di IPTA dan IPTS ialah Pulus.
Tanpa simpanan ( atau mungkin tidak ada atau tidak cukup untuk disimpan), tidak hairanlah ada yang menarik diri dan ada pula yang menggadaikan harta benda dan menjual harta pusaka seperti tanah bagi meneruskan cita-cita si anak.

Monday, May 17, 2010

Salam Hari Guru 2010

Salam dan Selamat Hari Guru buat semua warga Pendidik di seluruh Negara.
Hari guru, Guru lah yang meraikannya. Tak ada cuti khas buat guru seperti cuti umum yang lain sedangkan guru merupakan pejawat awam yang teramai di negara ini. Terima kasih kepada yang menghargai pengorbanan guru selama ini. Hakikatnya, hanya guru yang mengetahui betapa beratnya tanggungjawab tugas sebagai guru.
Banyak beban tugas guru yang tergalas di bahu guru yang masyarakat di luar sana kebanyakannya tidak memahaminya. Kepada semua guru, laksanakanlah tugas dan amanah dengan ikhlas dan kalau tak dapat ganjaran pada masa kini, Insya Allah ada ganjaran yang lebih besar nanti.

Tuesday, April 13, 2010

Buang bayi dan Pendidikan seks

Pelbagai perasaan timbul apabila menatap di ruangan akhbar yang memaparkan cerita tentang bayi yang menjadi mangsa nafsu rakus manusia yang hilang pertimbangan akal dan perasaan kasih sayang. Maka hebohlah di seluruh negara. Pelbagai pendapat daripada pelbagai lapisan masyarakat dari pemimpin negara, ahli politik, NGO, ahli agama, ahli akademik, orang perseorangan sehinggalah menjadi topik hangat di kedai kopi. Saya tertarik dengan saranan agar pendidikan seks di ajar di sekolah sebagai langkah awal bagi membendung kes-kes pembuangan bayi.

Saya kesian dengan kaum guru yang akan dibebankan dengan tugas baru setiap kali ada masalah sosial atau apa saja yang berkaitan dengan kepentingan awam. Dulu apabila timbul masalah peningkatan kadar jenayah, maka setiap sekolah dikehendaki menubuh kelab pencegahan jenayah. Satu ketika timbul pula isu alam sekitar maka nilai alam sekitar pun di arah diterapkan dalam setiap mata pelajaran. Kelab alam sekitar pun ditubuhkan di sekolah sebagai aktiviti ko kurikulum. Begitu juga dengan penerapan nilai dalam aktiviti P & P sebagai satu langkah untuk memastikan nilai-nilai murni akan terdidik dalam setiap diri murid sekolah. Pendekatan ini diambil sebagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin, sikap dan nilai budi pekerti yang difikirkan semakin terhakis dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Begitu juga dengan masalah kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan terutama apabila tiba musim perayaan atau cuti panjang. Ekoran daripada masalah yang timbul, maka pendidikan keselamatan jalan raya pun dimasukkan dalam mata pelajaran di sekolah.
Apa yang menarik dan ingin saya perkatakan di sini ialah setiap kali ada masalah yang membabitkan masyarakat terutamanya yang bertentangan dengan nilai-nilai dan norma masyarakat, maka kaum guru lah yang akan diberi peranan untuk mengatasinya
.
Bagi saya pendidikan seks di sekolah ada pro dan kontranya. Saya bukan menentang pendidikan seks di ajar di sekolah namun sebelum sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan, kajian secara menyeluruh adalah amat penting dan perlu dengan mengambilkira pelbagai faktor dan keperluan. Jangan kerana sesuatu masalah yang timbul dalam masyarakat maka guru akan diberi satu lagi tanggungjawab bagi mengatasinya seolah-olah seperti memberi "panadol" kepada mereka yang pening kepala. Saya secara peribadinya melihat perkara ini dibuat secara "ad hoc" sahaja. Melihat secara rasional, penglibatan semua pihak adalah perlu untuk menangani apa jua masalah sosial dalam negara kita dan bukannya meletak secara total atas bahu guru-guru yang memang sudah senget oleh beban yang sedia ada.

Tuesday, April 6, 2010

Menziarahi Teman

Semalam saya berkesempatan menziarahi seorang teman yang terlantar sakit di Hospital (NMC). Melihat teman dalam keadaan yang lemah di atas katil wad pesakit timbul rasa keinsafan dalam diri. Betapa besarnya nikmat sihat yang dianugerahi Allah kepada kita. Sebelum inipun saya sempat juga menjenguk seorang lagi teman yang terlantar di Hospital Umum Sarawak. Doa saya moga mereka dalam kalangan mereka yang sabar dan tabah dengan ujian Allah dan cepat sembuh daripada penyakit yang dideritai.

Adab-adab menziarahi pesakit.

  • Mendoakan pesakit agar cepat sembuh.

  • Memberi nasihat agar sabar dan tabah.

  • Menyampaikan ucapan yang baik yang dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya. Cth: " Tidak apa-apa, Insya Allah lekas sembuh",.

  • Pendekkan waktu ziarah

  • Jangan terlalu kerap. Jarakkan atau berselang hari.

  • Sunat berdiri di sebelah kepala pesakit.

  • Islam tidak menghalang kita menziarahi orang bukan Islam.
Doa yang boleh dibaca semasa menziarahi orang sakit:
"Y a Allah, hilangkanlah penyakitnya, Wahai Tuhan bagi manusia. Sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMU jua sesuatu sembuhan yang tidak menyembuhkan sebarang penyakit". ( At-Tarmizi)

Sunday, February 14, 2010

Selamat Tahun Baru Cina



Gong Xi Fa Cai
Keong Hee Huat Chye
Gung Hei Fat Choi
Kung Hei Fat Choi
To all my fellow chinese and to all chinese where ever you are.