"Boleh jadi kamu membenci sesuatu pada hal itu amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui". 216 Surah Al Baqarah
Thursday, January 21, 2010
Hendak Seribu Daya.....
Wednesday, January 20, 2010
Program Transisi - Menilai Relevensinya.
Minggu ini merupakan minggu ketiga sesi persekolahan tahun 2010. Minggu terakhir murid-murid tahun satu dikehendaki menyertai program transisi. Memang tidak dinafikan sesuatu yang dirancang adalah untuk kebaikan murid-murid tetapi menilai dari segi relevennya sesuatu program, saya berpendapat ia harus dinilai dan kajian secara tuntas perlu dibuat untuk menilai keperluan dan keberkesanannya. Program transisi adalah perancangan aktiviti suai kenal murid disamping pendekatan tematik untuk mendedahkan murid dengan alam persekolahan yang sebenar. Persolannya adakah semua sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman sesuai dengan program tersebut. Boleh dikatakan semua murid telah melalui alam pra sekolah malahan di setiap sekolah kini pun, telah ada kelas pra sekolah. Di sesetengah sekolah, murid tahun satu adalah terdiri daripada murid yang sama iaitu murid lepasan pra sekolah di sekolah yang sama. Pihak sekolah bukan setakat perlu memaklumkan tentang program tersebut malah pengisiannya juga perlu dimaklumkan kepada para ibu bapa agar tidak timbul rasa tidak senang dengan program tersebut. Tidak semua ibu bapa faham kan.
Tuesday, January 19, 2010
Salam Tahun Baru. - Ujian Hidup yang meresahkan.
Muhasabah diri. Melihat ke dalam diri terasa begitu kerdilnya diri di sisi Tuhan. Hanya doa penguat semangat dan azam untuk meneruskan perjalanan hidup yang sementara ini. Meminjam kata-kata Dr. Maza, ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara dan sapaan Allah kepada kita agar ingat apa yang kita lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Dugaan dan ujian adalah kepada hamba-hambaNya yang mampu menghadapinya. Allah mengajar kita berdoa seperti doa Nabi Musa a.s. "Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir" Mudah-mudahan kehadiran tahun baru membawa sinar kebahagiaan dalam hidup kita.
Friday, December 4, 2009
Kunjungan seorang sahabat
Keciciran
Cerita yang tidak pernah ada noktahnya. Teringat dengan ungkapan" Dulu, kini dan selamanya". Angka keciciran pelajar yang dipaparkan di media massa begitu mengejutkan. Siapa nak dipersalahkan? Negara sudah lama mencapai kemerdekaan tetapi masih ada lagi rakyatnya yang tercicir dan tertinggal dalam arus perdana pendidikan. Konsep pendidikan untuk semua rasanya belum tercapai sepenuhnya. Bagi saya masalah "Keciciran" ini cerita lama, dan entah di mana silapnya apabila ia terus berlaku. Kesian dengan anak-anak bangsaku di kawasan kampung, pedalaman dan yang jauh di ulu tigis.
Friday, November 20, 2009
Kemurahan hati pemerintah kepada Rakyat - SUBUR
Minggu lepas saya balik ke kampung. Saja nak menenangkan fikiran disamping hendak bertemu ayah dan sanak saudara di sana. Banyak cerita yang didengar. Duduk di warung emak manakan menjual cucur pisang sambil menghirup kopi pekat saya sempat berbual tentang beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan. Seronok juga mendengar ramai orang kampung yang mendapat bantuan daripada program E- kasih. "Berapa dapat?", sapa saya kepada Pak Usu. Dapat RM10 ribu tapi yang diberi hanya RM5500 saja. Ada potongan oleh pihak pejabat Daerah", jawab Pak Usu. Potongan apa? saja saya tanya untuk mendapat maklumat. "Entahlah, tak tanya pun", sambung pak usu. Saya bertanya kepada salah seorang lagi ibu tunggal yang kebetulan berada di situ tentang perkara yang sama. Jawapan yang saya terima sama seperti pak usu. Bermacam-macam persoalan timbul dalam benak fikiran saya. Sebelum ini pun ramai yang mendapat bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Terkini, kerajaan akan memberi bantuan beras pula. Dengar ceritanya mana-mana yang berdaftar dengan E-kasih secara automatis akan menerima bantuan beras subsidi (SUBUR) tersebut.
Saya tertarik dengan cerita seorang ibu tunggal yang menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap agihan beberapa bantuan kerajaan tersebut. Direnung fikirkan saya berpendapat ada benarnya apabila banyak perkara yang timbul dan kekeliruan yang berlaku seperti:
- Sukarnya mendapat borang untuk mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan.
- Borang agak terhad walaupun ada inisiatif daripada orang-orang parti mengedarkan borang tersebut.
- Borang tidak terdapat di pejabat daerah kecil. Hanya terdapat di pejabat Daerah.
- Kebanyakan yang mendapat borang adalah terdiri daripada sanak-saudara orang parti sahaja.
- Tidak ada data yang lengkap tentang rakyat yang miskin.
- Bantuan seharusnya secara menyeluruh tanpa mengambilkira fahaman politik.
- Kerajaan seharusnya menubuh badan khas untuk mengenalpasti rakyat yang benar-benar layak mendapat bantuan daripada kerajaan.
Saya setuju dengan saranan oleh YB Awang Adek agar ada yang tidak ketinggalan mendapat bantuan kerajaan tersebut terutamanya mereka yang benar-benar layak. Ramai lagi sebenarnya yang memerlukan bantuan di luar sana. Sebelum balik saya sempat memberitahu beberapa orang kampung di situ agar dapatkan borang, kemudian isi dan hantar kepada pihak yang diamanahkan.
Tuesday, September 29, 2009
Cerita di Hari Raya.
Friday, September 18, 2009
Salam Idul Fitr

Hari Raya adalah hari kita mermbesar Allah, hari kemenangan dan hari kegembiraan. Ia adalah hari yang diperuntukkan oleh Allah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan Allah yang tak terhitung kepada hambaNya. Anehnya dalam masyarakat kita Hari Raya lebih menggambarkan hari yang penuh dengan kesedihan, kepiluan dan kita sering terjebak dalam suasana sedih dan pilu tersebut. Alunan takbir raya yang seharusnya memberi semangat bertukar kepada alunanan yang mendayu-dayu dan menimbulkan suasanan sedih. Malah pengisian program di saluran TV di negara kita pun, banyak menayangkan drama dan suasana yang sedih pada hari Raya.
Di sudut hiburan pula, islam memberi ruang yang luas kepada kita untuk bergembira asalkan tidak menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Terpulang kepada kita bagaimana kita memahami dan menghayati kegembiraan tersebut.
Hiburan dengan batasan tertentu serta disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.a.:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
“Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hiburan yang keterlaluan dan melampauai batasan yang digaris agama juga tidak dibenarkan dalam islam. Saya tertarik apabila ada yang menyatakan amalan ziarah menziarahi seperti suatu ketika dahulu semakin berkurangan kesan pengaruh program hiburan yang terlalu banyak dalam TV.
Amalan kunjung-mengunjung atau ziarah menziarahi seharusnya diteruskan sebagai tanda persahabatan dan ukhuwah sesama kita. Saya masih teringat dengan zaman anak-anak dan remaja di kampung ketika hari raya dimana kami akan membentuk satu kumpulan untuk menziarahi ( istilah "berlanggar ") dari satu rumah ke satu rumah yang lain dalam kampung. Keadaan inilah yang menimbulkan suasana meriah pada hari raya. Beberapa tahun kebelakangan ini suasana tersebut semakin pudar dan kunjungan pun hanya dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.
Thursday, September 17, 2009
Kalungan Selipar untuk Negarawan
Bila emosi, perasaan marah tanpa pertimbangan akal yang waras inilah jadinya. Merenung fikir senario yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini sedikit sebanyak meresahkan saya. Sudah hilangkah adab dan budaya menghormati segelintir masyarakat kita pada hari ini? Atau atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi kita bebas mengeluarkan apa saja seenaknya dari mulut kita tanpa memikirkan bahananya. Menidakkan sumbangan pemimpin negara kepada semua kaum di negara ini adalah suatu yang tidak dapat diterima. Jangan kerana rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu atau perkara kita terus bertindak diluar batasan yang kesannya menjadi begitu besar/serius jika tidak ditangani dengan bijak.
16 September yang dilupakan
Perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 sehinggalah membawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Segala-galanya bermula dengan pandangan futuristik daripada negarawan Allahyararham Tunku dengan idea gagasan Malaysianya pada 27 Mei 1961. Cadangan pembentukan Malaysia yang melibatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura dengan Tanah Melayu mendapat reaksi yang pelbagai daripada negara-negara serantau. Walau apa pun, akhirnya Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kekal dalam pembentukan Malaysia sehingga kini walaupun Singapura keluar daripada Malaysia selepas itu. Bagi saya sejarah pembentukan Malaysia begitu penting dalam lipatan sejarah pembinaan negara bangsa. Anehnya dan sering menjadi tanda tanya mengapakah tarikh keramat 16 September setiap tahun seolah-olah tidak bermakna tanpa ada usaha kerajaan untuk menjadikan tarikh bermakna dalam kalender sambutan perayaan di dalam negara.