Monday, June 21, 2010

UPSR & PMR dimansuhkan?

Cerita hendak memansuhkan UPSR dan PMR sudah kedengaran sejak setahun dua yang lalu cuma ia menjadi topik perbincangan hangat apabila Menteri Pelajaran menyentuh isu tersebut beberapa hari yang lepas. Sepintas lalu, ada kewajarannya, namun pada pandangan saya UPSR masih relevan dan perlu diteruskan. Dalam tempoh 6 tahun di sekolah rendah penilaian terhadap prestasi murid adalah perlu ke arah penarafan murid dan sebagai persediaan ke alam persekolahan sekolah menengah. Melalui penilaian yang dibuat murid-murid dapat ditempatkan berdasarkan pencapaian seperti di sekolah berasrama penuh, sekolah aliran agama dan juga sekolah- sekolah khas yang lain.
Berbalik pada PMR, memang tidak dinafikan sijil PMR bukanlah sijil yang digunakan untuk memohon pekerjaan namun untuk masa kini ia adalah salah satu mekanisme yang digunakan untuk menilai pencapaian murid secara menyeluruh dalam tempoh 3 tahun proses P & P dilaksanakan. Sekiranya PMR hendak dimansuhkan satu mekanisme penilaian yang relevan dan sistematik serta tidak membebankan guru harus difikirkan. Saranan agar pentaksiran berasaskan sekolah adalah jawapan untuk mengatasi isu yang timbul namun perancangan yang rapi adalah perlu dengan mengambilkira dari segi keperluan dalam penilaian dan menepati piawai yang dikehendaki.
Sistem sijil SPM terbuka bukan alasan untuk memansuh PMR semata-mata kerana dalam kita menyediakan murid untuk menduduki SPM, sekolah harus menyediakan keperluan awal murid untuk memilih aliran sama ada aliran sains, sastera, teknologi, teknik dan vokasional. ( mungkin bidang agama islam juga). Kita harus menilai setakat mana sistem pendidikan kita khususnya di sekolah pada masa kini dapat menyediakan ruang untuk murid memilih aliran atau jurusan yang sesuai dengan pencapaian mereka. Disamping itu, diharapkan juga tenaga pengajar dan kemudahan yang ada mencukupi di setiap sekolah agar tidak ada yang tertinggal atau lompang di mana-mana.

No comments:

Post a Comment