Wednesday, December 31, 2008

2009 - Penuh cabaran - Tip bijak berbelanja

1. Rancang perbelanjaan anda
  • Harian - senaraikan perbelanjaan dengan mencatat apa yang dibeli dan jumlah wang yang dibelanjakan.
  • Mingguan - catatkan jumlah, jenis barangan dan perkhidmatan yang dibeli sepanjang minggu tersebut.
  • Bulanan - Senaraikan perbelanjaan sepanjang bulan tersebut.
  • Tahunan - Senaraikan jumlah perbelanjaan selama setahun.

2. Disiplin Diri

  • Kawal perbelanjaan
  • kawal kewangan
  • jangan berbelanja lebih daripada pendapatan
  • Jangan berhutang
  • Tangguh sahaja dulu jika belum mampu
  • Tetapkan sasaran - simpan dan jimat sekurang-kurangnya Rm50.00 - Rm 100.00 setiap bulan.
  • Senaraikan barang-barang yang perlu dibeli sahaja ketika ke tempat membeli belah atau ke pasar raya
  • Jangan terpengaruh atau terikut-ikut orang lain
  • Jangan mudah terpengaruh dengan barangan berjenama
  • Jangan mudah terpengaruh dengan iklan yang menarik
  • Elakkan memiliki kad kredit

2008 yang sarat dengan kenangan

Menyoroti beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2008 banyak mengajar saya erti "kehidupan". Ujian dan dugaan yang datang satu persatu begitu mencabar keimanan. Saya amat bersyukur kerana di sekeliling saya selain daripada ahli keluarga ramai teman yang prihatin dan memberi semangat dan dorongan. Di sinilah saya dapat menilai erti sebenar persahabatan dalam kalangan teman-teman. Bagi saya yang penting sekarang ialah meneruskan kehidupan dengan tenang dan menyerah segala-galanya kepada Allah SWT. Mudah-mudahan berkat doa teman-teman kedatangan tahun 2009 menjanjikan kehidupan yang indah bagi saya. Begitu juga doa saya buat teman-teman di luar sana. Selamat tahun baru 2009.

Sambutan Tahun Baru - selayang pandang

Detik dua belas malam ini merupakan saat-saat yang ditunggu menandakan kemunculan tahun baru 2009. Seperti biasa pelbagai acara sambutan diadakan seperti tahun-tahun lepas oleh pelbagai lapisan masyarakat. Langkah kerajaan mengambil keputusan tidak mengadakan sambutan tahun baru 2009 dengan alasan sementara iaitu berdasarkan keadaan semasa seperti kemelesetan ekonomi, bencana alam yang berlaku, menghormati Maal Hijrah dan protes serangan Israel ke atas Palestin amat dialu-alukan walaupun mungkin tidak relevan pula pada tahun hadapan. Apa yang pasti budaya sambutan tahun baru dengan mengadakan konsert dan berhimpun beramai-ramai menunggu detik dua belas malam tidak mendatangkan impaks positif kepada masyarakat kita khususnya golongan muda dan remaja. Sambutan yang berakhir hingga lewat malam malahan hingga menjelang pagi lebih banyak mendatangkan kesan negatif seperti kejadian jenayah, masalah kebersihan dan masalah sosial dan moral. Satu ketika dulu kita dikejutkan dengan laporan akhbar terdapat beratus kondom dikumpul selepas satu acara sambutan tahun baru di ibu kota. Kedatangan tahun baru seharusnya menjentik minda kita untuk muhasabah diri atau merenungfikir apa yang berlaku sepanjang tahun lepas serta menanam tekad azam meperbaiki atau mensiaplengkapkan diri untuk mendepani segala cabaran pada hari-hari yang mendatang. Menyambut tahun baru dengan hiburan yang melalaikan, terkinja-kinja atau dengan pesta liar bukan cara kita dan langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama kita.

Tuesday, December 30, 2008

Keganasan dan kekejaman Israel



Perasaan sedih, geram dan marah bercampur baur apabila puak Zionis mula mengganas dan melakukan kekejaman demi kekejaman di bumi Palestin. Ketika umat islam menyambut Maal Hijrah, rakyat Palestin terus menjadi mangsa kezaliman zionis. Seramai 310 orang rakyat Palestin yang tidak berdosa terkorban akibat serangan bom oleh Israel. Perkembangan terbaharu ini seakan-akan menuntut pendekatan yang lebih keras menangani Israel dan sekutunya. Ratusan juta umat islam seluruh dunia seharusnya bangkit untuk menentang keganasan yang dilakukan oleh Israel. Kita seharusnya tidak lagi hanya bercakap, merintih, meratap nasib saudara kita tetapi perlu bertindak. Kalaupun tidak mampu mengangkat senjata di medan juang jihad, satu langkah yang boleh kita ambil ialah dengan memboikot produk-produk Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Malah jika perlu kita menyokong tindakan militan islam selepas ini.

Tarian Poco-Poco





Tarian poco-poco begitu popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.Di samping sebagai satu aktiviti riadah yang menyeronokkan, ia juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat kerjasama dan sepasukan. Di Taman Malihah, Perkumpulan Wanita telah lama mengorak langkah melaksanakan aktiviti riadah melalui tarian poco-poco pada setiap petang Ahad. Malahan kumpulan tersebut telah beberapa kali dijemput oleh pihak luar untuk mempersembahkan dan memeriahkan beberapa program di sekitar bandar raya Kuching. Apa yang menariknya, tarian poco-poco ini begitu popular di seluruh dunia atau dalam kata lain ia merentasi sempadan dunia dan usia. Terlintas di fikiran, di negara kita khususnya di Sarawak, banyak tarian etnik yang boleh diketengahkan sebagai tarian riadah yang menyeronokkan dan menghiburkan. Mungkin tidak salah kalau dilakukan sedikit pengubahsuaian yang kreatif dan inovatif di samping mengekalkan keasliannya ia juga mampu merentasi sempadan dunia.

Monday, December 29, 2008

Salam Maal Hijrah (1430 H)

Menerima mesej daripada teman-teman dengan ungkapan-ungkapan menarik sempena Maal Hijrah begitu menyentuh hati dan perasaan. Pertama kerana kata-kata dalam mesej mengingatkan diri tentang amalan sepanjang tahun lepas yang terlalu banyak kekurangannya. Kedua, masih ada teman-teman di luar sana yang prihatin dan mengingati diri ini sama ada yang jauh atau yang dekat.Terasa diri ini begitu kerdil di sisi Allah SWT. Memang benar seperti dalam doa akhir tahun, dengan pengharapan seluruh jiwa raga, kita memohon keampunan dan keredhaanNya di samping merayu agar tidak diputuskan pengharapan daripadaNya. Dalam doa awal tahun pula, tiada yang diingini selain daripada rahmat Allah agar terlindung daripada godaan syaitan yang tak sudah-sudah dan nafsu yang tak pernah puas. Memetik bait-bait dalam mesej yang dihantar oleh seorang teman yang begitu mengesankan;

Kita pohon
keteguhan hati,
Allah beri masalah untuk di atasi...
Kita pohon
keyakinan,
Allah beri ujian
untuk memantapkan iman & jiwa...
Kadangkala kita
tidak dapat apa yang diingini,
namun kita sentiasa dapat apa yang kita perlukan...
Semoga Allah memberikan kita semua pelangi untuk setiap hujan,
Senyuman untuk setiap tangisan,
Rahmat untuk setiap cubaan dan dugaan
Memakbulkan setiap doa

Friday, December 26, 2008

Menulis dan Krismas.


Keinginan untuk menerbit blog sendiri sudah lama terpendam dalam hati selepas melayari dan membaca blog-blog oleh beberapa blogger. Banyak pengetahuan dan input yang berguna diperolehi melalui bahan bacaan yang mudah dan berinformatif. Memikirkan cetusan idea dan luahan rasa hati kadangkala perlu dikongsikan, saya memulakan langkah menulis di halaman blog yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.Kesempatan cuti perayaan Krismas dimanfaatkan untuk menguatkan semangat untuk terus menulis. Dalam masyarakat yang hidup berbilang kaum dan etnik di sarawak, kemesraan untuk bersama-sama meraikan krismas begitu terserlah dengan pelbagai program seperti kunjung-mengunjungi. Malahan di gedung membeli belah pun hiasan dalaman yang menandakan ketibaan krismas begitu menarik perhatian meskipun sambutannya agak sederhana kali ini. Terfikir di hati ini, mungkinkah ia berkaitan dengan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang disogok dengan berita akan berlaku kelembapan ekonomi pada tahun hadapan. Trend pemberhentian pekerja diramalkan serius iaitu 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh 3 bulan pertama setelah mengambilkira kelembapan ekonomi negara. Lebih mengusarkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan pada suku pertama dan kedua tahun hadapan.Terdetik dalam hati dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan, apa akan terjadi kepada pekerja-pekerja seramai itu dalam keadaan ekonomi glokal yang masih tidak menentu kini.