Friday, December 26, 2008

Menulis dan Krismas.


Keinginan untuk menerbit blog sendiri sudah lama terpendam dalam hati selepas melayari dan membaca blog-blog oleh beberapa blogger. Banyak pengetahuan dan input yang berguna diperolehi melalui bahan bacaan yang mudah dan berinformatif. Memikirkan cetusan idea dan luahan rasa hati kadangkala perlu dikongsikan, saya memulakan langkah menulis di halaman blog yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.Kesempatan cuti perayaan Krismas dimanfaatkan untuk menguatkan semangat untuk terus menulis. Dalam masyarakat yang hidup berbilang kaum dan etnik di sarawak, kemesraan untuk bersama-sama meraikan krismas begitu terserlah dengan pelbagai program seperti kunjung-mengunjungi. Malahan di gedung membeli belah pun hiasan dalaman yang menandakan ketibaan krismas begitu menarik perhatian meskipun sambutannya agak sederhana kali ini. Terfikir di hati ini, mungkinkah ia berkaitan dengan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang disogok dengan berita akan berlaku kelembapan ekonomi pada tahun hadapan. Trend pemberhentian pekerja diramalkan serius iaitu 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh 3 bulan pertama setelah mengambilkira kelembapan ekonomi negara. Lebih mengusarkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan pada suku pertama dan kedua tahun hadapan.Terdetik dalam hati dengan pelbagai pertanyaan dan persoalan, apa akan terjadi kepada pekerja-pekerja seramai itu dalam keadaan ekonomi glokal yang masih tidak menentu kini.

No comments:

Post a Comment