Friday, September 24, 2010

Khutbah Jumaat - Tuntutan Memuliakan Saudara SeIslam.

Intipati daripada Mimbar Jumaat yang mengingatkan kita tentang perkara yang penting dalam hidup bermasyarakat khususnya sesama saudara seIslam.
Islam adalah agama kasih sayang dan sentiasa menganjurkan umatnya agar berkasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara amalan yang boleh menggambarkan rasa kasih sayang kita kepada saudara-saudara kita ialah kita sentiasa memuliakan mereka. Dan salah satu daripada cara kita memuliakan saudara-saudara kita ialah tidak mendedahkan keaiban dan kelemahan yang ada pada diri mereka tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak.
Demi menjaga maruah saudara-saudara kita, maka islam telah mengharamkan amalan berprasangka buruk, intip-mengintip, dan umpat-mengumpat antara satu sama lain. Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan kita melalui firmanNya dalam surah Al-Hujurat ayat 12, yang bermaksud: Wahai orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu (iaitu prasangka buruk) adalah dosa. janganlah kamu intip-mengintip (untuk mengetahui keaiban dan keburukan orang lain) dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentulah kamu merasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya maruah seseorang Islam itu amat tinggi dan mulia di sisi Allah SWT. Oleh kerana itulah Baginda Rasulullah SAW telah menerangkan tentang balasan baik yang akan diperolehi oleh individu yang menjaga dirinya daripada mendedahkan keaiban saudara seIslamnya, kerana dengan berbuat demikian, sesungguhnya dia telah mempertahankan kemuliaan saudaranya itu. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya; Sesiapa yang menutup keaiban saudara seIslamnya, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Allah SWT akan menolong hambaNya selagi hambaNYa itu menolong saudaranya.
(Hadith Riwayat Muslim)
Bahkan Baginda Rasulullah SAW telah mengancam bahawa Allah SWT tidak akan menghiraukan hambaNya yang tidak menolong saudaranya ketika ia diaibkan sebagaimana maksud sabda Baginda Rasulullah SAW; Sesiapa yang tidak menolong saudara Islamnya ketika maruahnya dijatuhkan dan dihina, maka sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghiraukannya ketika dia memerlukan pertolongan. (Hadith Riwayat Abu Daud)
Begitulah hebatnya ajaran Islam dalam soal mempertahankan dan memuliakan maruah individu Muslim. Sebab itulah lahirnya kata-kata hikmat yan pernah kita dengar mengenai kekuatan dan kehebatan maruah ini: Apabila harta benda hilang, sebenarnya tidak ada apa-apa yang hilang dari diri kita, dan apabila kesihatan hilang, barulah kita akan merasakan sesuatu yang berharga hilang dari diri kita, sebaliknya apabila maruah dan harga diri hilang, maka hilanglah segala-galanya dari kita'
Sebagai kesimpulan, islam telah mensyariatkan agar umatnya sentiasa memuliakan saudara-saudaranya dengan tidak mendedahkan keaiban dan keburukan walaupun dalam keadaan saudaranya itu telah didapati bersalah, kecuali setakat mana yang dibenarkan oleh syarak dalam proses melaksanakan arahan Allah SWT untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNya. Tuntutan untuk memuliakan anak Adam ini juga hendaklah diraikan oleh para pendakwah dalam menyampaikan mesej Islam walaupunkepada orang bukan Islam, demi maruah kemanusiaan yang telah dimartabatkan oleh Allah SWT dalam Al Quranul Karim.

No comments:

Post a Comment