Monday, June 21, 2010

UPSR & PMR dimansuhkan?

Cerita hendak memansuhkan UPSR dan PMR sudah kedengaran sejak setahun dua yang lalu cuma ia menjadi topik perbincangan hangat apabila Menteri Pelajaran menyentuh isu tersebut beberapa hari yang lepas. Sepintas lalu, ada kewajarannya, namun pada pandangan saya UPSR masih relevan dan perlu diteruskan. Dalam tempoh 6 tahun di sekolah rendah penilaian terhadap prestasi murid adalah perlu ke arah penarafan murid dan sebagai persediaan ke alam persekolahan sekolah menengah. Melalui penilaian yang dibuat murid-murid dapat ditempatkan berdasarkan pencapaian seperti di sekolah berasrama penuh, sekolah aliran agama dan juga sekolah- sekolah khas yang lain.
Berbalik pada PMR, memang tidak dinafikan sijil PMR bukanlah sijil yang digunakan untuk memohon pekerjaan namun untuk masa kini ia adalah salah satu mekanisme yang digunakan untuk menilai pencapaian murid secara menyeluruh dalam tempoh 3 tahun proses P & P dilaksanakan. Sekiranya PMR hendak dimansuhkan satu mekanisme penilaian yang relevan dan sistematik serta tidak membebankan guru harus difikirkan. Saranan agar pentaksiran berasaskan sekolah adalah jawapan untuk mengatasi isu yang timbul namun perancangan yang rapi adalah perlu dengan mengambilkira dari segi keperluan dalam penilaian dan menepati piawai yang dikehendaki.
Sistem sijil SPM terbuka bukan alasan untuk memansuh PMR semata-mata kerana dalam kita menyediakan murid untuk menduduki SPM, sekolah harus menyediakan keperluan awal murid untuk memilih aliran sama ada aliran sains, sastera, teknologi, teknik dan vokasional. ( mungkin bidang agama islam juga). Kita harus menilai setakat mana sistem pendidikan kita khususnya di sekolah pada masa kini dapat menyediakan ruang untuk murid memilih aliran atau jurusan yang sesuai dengan pencapaian mereka. Disamping itu, diharapkan juga tenaga pengajar dan kemudahan yang ada mencukupi di setiap sekolah agar tidak ada yang tertinggal atau lompang di mana-mana.

Saturday, June 19, 2010

Bahasa Mandarin & Tamil. Untuk Perpaduan?


Menguasai pelbagai bahasa adalah bonus bagi seseorang. Apa tidaknya, dengan menguasai pelbagai bahasa akan memudah proses berkomunikasi. Tetapi apabila ada cadangan untuk mengajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan terbit pelbagai reaksi yang nampak ada banyak pro dan kontranya.
Meskipun salah satu matlamatnya untuk menarik minat ibu bapa kaum cina dan india untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan namun alasan tersebut masih boleh dipersoalkan. Negara sudah merdeka 53 tahun dan perlembagaan negara jelas mendukung dasar bahasa kebangsaan dan dasar pelajaran. Dasar bahasa kebangsaan terus diharapkan sebagai bahasa perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Semua kaum di Malaysia seharusnya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebagai bahasa perpaduan dan amat menyedihkan selepas lebih lima dekad negara mencapai kemerdekaan ramai yang masih belum mampu menguasai bahasa Melayu atau lebih jelas tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Saya terfikir bagaimana susahnya belajar pelbagai bahasa etnik yang begitu banyak di Sarawak sekiranya menguasai pelbagai bahasa sebagai satu media untuk berkomunikasi dan perpaduan seperti cadangan yang dikemukakan tersebut.
Tetapi yang jelas, di Sarawak perpaduan dan integrasi dalam kalangan kaum khususnya Bumiputera bukanlah sesuatu yangterlalu mengusarkan.

Monday, June 7, 2010

Keganasan dan Kekejaman Zionis

Sejarah kekejaman rejim zionis terbuti lagi dengan tindakan ganas dan kejam tentera Israil ke atas Kumpulan Misi bantuan Kemanusiaan ke Gaza. Sampai bila dunia membiarkan mereka terus bermaharajalela tanpa menghormati kedaulatan negara lain.
Sehingga kini Obama masih membisu walaupun bantahan dan kemarahan dunia semakin memuncak. Sebagai rakyat kecil kita sekadar hanya mampu melihat kekejaman Israil dengan perasaan benci, marah, kesal dan tercabar.
Mana negara-negara Islam di dunia ini? Mana negara-negara Arab? Sampai bila kita hanya sebagai pemerhati saja atau penerima sahaja? Soalnya bukan kerana Palestin semata-mata, malah sekiranya berlaku kepada negara-negara lain pun kita tidak harus berkompromi atas nama kedaulatan dan kemanusiaan.

Tuesday, June 1, 2010

Selamat Hari Gawai

Teringat dengan kuih cina, kuih chap, kuih jala dan pelbagai kuih tradisional yang lain semasa menyambut perayaan Hari Gawai. Semuanya tetap indah terpahat dalam memori ingatan sejak zaman kecilku. Kepada teman-teman yang menyambut perayaan Hari Gawai diucapkan;
Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang".