Ada banyak cerita menarik dalam diari perjalanan saya. Ketika dalam perjalanan balik kembara mencari ilmu lapan tahun yang lalu, saya terserempak dengan seorang wanita ( agaknya dalam lingkungan 50-60 tahun) di lapangan terbang Heathrow. Kami bersembang dan bercerita tentang pengalaman perjalanan masing-masing. Wanita tersebut dah lebih 10 tahun menetap di Fulham dan menurutnya sekarang dia meneruskan kehidupan tuanya mengusahakan ladang tanaman anggur. Pertemuan dengannya begitu menarik bagi saya kerana daripada pemerhatian saya wanita tersebut masih lagi mengekalkan budaya dan ciri kehidupan masyarakat kita. Dia mengenakan topi anyaman daun pandan untuk menutup kepalanya daripada udara yang sejuk.
Saya tidak menolak berkongsi minuman kopi yang dibawanya dalam thermos berwarna merah seperti yang biasa dibawa oleh nenek saya ketika pergi berhuma suatu ketika dahulu. Suaminya,( omputih) lebih banyak tersenyum dan sekali sekala menyampuk dan bercakap dalam bahasa Sarawak. Saya dan wanita tersebut lebih banyak bercakap dalam bahasa iban. Saya mengusik dengan bertanya bagaimana pertemuan mereka sehingga beliau sanggup mengikut suaminya berhijrah ke negara asing tersebut. Panjang ceritanya, dan semuanya bermula apabila suaminya tertarik dengan kerja-kerja kraf tangan yang dibuatnya suatu ketika dahulu. Kalau tak silap saya, wanita tersebut berasal dari kawasan Sri Aman dan sebelum ini menetap di Batu Kawa.
Katanya, paling kurang pun dua kali setahun dia akan balik ke Sarawak untuk sambutan Hari Gawai dan Krismas. "Indahnya tempat orang, lebih indah negeri kita sendiri, saya sering merindui kampung halaman dan sanak saudara," bisiknya dengan perlahan antara kedengaran dan tidak apabila saya mengaju pertanyaan tentang perasaannya....... " Cari saya jika pergi ke Fulham," pelawaannya kepada saya dengan bersungguh-sungguh.
Saya tahu budaya omputih dan budaya kita jauh bezanya, mereka tidak suka tetamu bermalam di rumah mereka. Malah di Kota London pun ada hotel-hotel yang dikhaskan hanya untuk masyarakat tempatan sahaja.