Wednesday, May 6, 2009

Transit

Saya sengaja memilih tempat duduk di bahagian tingkap. Mudah untuk saya melelapkan mata sekiranya mata mula letih dan bahan bacaan semakin mengecil dan semakin kabur. Transit di satu destinasi, seorang anak gadis masuk dan duduk di sebelah saya. Keselesaan saya sebelum ini sedikit terganggu dan hati saya terubat apabila gadis tersebut melemparkan senyuman manisnya.

Sepanjang perjalanan, kami melayani fikiran masing-masing. Mencuri pandang melalui ekor mata, saya dapat rasakan gadis tersebut seolah-olah berhadapan dengan suatu masalah. Wajahnya nampak keletihan. Jarinya asyik menari di pad hpnya. "Sms lah tu", bisik hati saya. Teringat dengan ungkapan "golongan anti-sosial". Sepanjang perjalanan kami tidak bercakap sepatah pun sehinggalah tiba di satu lagi destinasi transit.

Saya menghulur guava yang saya beli tadi kepadanya. Dia menolak dengan baik tetapi saya memujuknya untuk menerimanya. "Masih belajar"? saya memulakan bicara. "Ya, di IPG, dan baru selesai Praktikum". sahutnya dengan suara yang lembut. "Semester akhir dan lepas ni exam", sambungnya lagi dengan nada semakin ramah. ....
"Terima kasih dan Insya Allah", ucapnya, setelah saya nasihatkan dia agar study sungguh-sungguh dan kekalkan CGPA yang diperolehinya. Selepas itu kami rancak berbual dan dia mula bercerita tentang keluarganya.


Menurut gadis tersebut setiap hujung minggu dia terpaksa balik ke kampung untuk menjaga ayahnya yang sakit. "Kesian ngan emak, dan kalau saya ada, dapatlah kami bergilir-gilir menjaga ayah. emakpun bukannya sihat dan selalu jugak sakit", , tambah gadis tersebut dengan nada sedih. Menurut gadis tersebut, ayahnya hanya mampu terbaring sahaja dan tidak mampu berdiri dan berjalan seperti biasa selepas menjalani rawatan di hospital. Keadaannya semakin teruk selepas mendapat rawatan di hospital berbanding sebelum ini. "Mungkin kesan ubat", saya menyatakan pandangan. "Ada berubat cara kampung?" tanya saya kepada gadis tersebut.
"Yang terbaru kami panggil seorang ustaz. Kata ustaz, ayah saya menderita akibat 'buatan orang'. Bomoh-bomoh sebelum ini pun, mengatakan perkara yang sama. Ayah pernah bengkak di bahagian lengan suatu masa dahulu selepas bersalam dengan seseorang, dan apabila di X-ray didapati ada kayu dalam lengan ayah", cerita gadis tersebut dengan bersungguh-sungguh.
Saya hanya mampu menasihat gadis tersebut agar bersabar dan menjaga ayahnya sebaik mungkin tika hayatnya masih ada. Jangan lupa solat malam dan solat hajat mohon ayahnya segera sembuh.
"Ada pendinding ke"? tanya saya menutup perbualan. "Tak ada" jawab gadis tersebut. Jawapan yang saya rasa cukup jujur. "Saya hanya membaca surah yasin setiap malam" katanya lagi. "Tak cukup dik, belajar dan bertanyalah kepada orang alim dan orang tua kerana ilmu-ilmu ghaib ini tidak ada diajar di sekolah dan di universiti. Selebihnya berdoa dan bertawakal kepada Allah".
Kami sampai di destinasi yang sama. kami terus dengan haluan masing-masing. Sebelum beredar gadis tersebut sempat mengukir senyuman manis dan mengucap terima kasih sebelum meminta diri. Doa saya moga dia berjaya dan ayahnya cepat sembuh daripada penyakit yang dideritainya.
Cerita gadis tersebut amat menarik bagi saya dan sedikit sebanyak ia memberi pengajaran kepada saya dalam menempuh hidup ini. Saya banyak mendengar cerita-cerita misteri dan mistik dalam kalangan masyarakat kita. Realitinya dan harus kita akui di dunia ini banyak jenis manusia yang masing-masing dengan seribu satu ceritanya.

1 comment:

  1. Kadang-kadang sesuatu yang datang dari Allah itu ada hikmahnya. Mungkin itu cara Allah untuk merapatkan ikatan kekeluargaan mereka.

    Manja Matang

    ReplyDelete