Saturday, June 20, 2009

Budaya Satay

Memang tidak dinafikan dalam sesebuah organisasi ada jenis manusia yang mengamalkan "budaya satay" ini. Satay memang sedap dimakan dan saya masih teringat setiap kali berkunjung ke KL pasti tidak melepas peluang bersama-sama teman menikmati satay kajang. Dulu satay kajang cuba diperluaskan perniagaaannya di Semariang Food Court Kuching tetapi kurang mendapat sambutan. Agaknya namanya saja satay kajang tetapi "originalitinya" mungkin sedikit berbeza. Saya sebenarnya teringat dengan cerita teman dalam entri yang lepas tentang rakan sekerjanya yang mendapat APC. Tetapi sebelum pergi kepada cerita teman saya ini, saya suka bercerita tentang satay. Satay memang cukup enak tetapi perlu dicucuk dengan lidi, dibakar dan dikipas agar tidak hangus. Dicicah dengan kuah satay dengan nasi impit atau lemang dengan sedikit bawang memang cukup menyelerakan.
Ramuannya dan cara menyediakan satay cukup menggambarkan perlakuan manusia yang analoginya sama seperti satay dalam sesebuah organisasi. Manusia yang suka mencucuck, membakar, mengipas dan menenyehkan satay dalam kuahnya serta ditambah kuah sedikit pedas bersama nasi impit atau lemang dengan busuk bau bawang.
Teman tadi bercerita bagaimana rakan sekerjanya setiap hari akan melakukan perkara yang sama dan lebih memburukkan keadaan dia mendapat kepercayaan bosnya yang sedikit buta dalam menilai manusia seperti itu. Hikpokrit, pengadu domba, pemfitnah, meluat, menyampah, sakit hati dan pelbagai ungkapan yang tidak enak keluar dari mulut teman yang bercerita tadi.
Sampai sekarang saya pun masih berfikir tentang cerita tersebut. Dalam doa, memohon agar dijauhkan dan tidak menjadi mangsa manusia seperti itu.

No comments:

Post a Comment