Thursday, June 18, 2009

Satu Malaysia

Slogan atau Gagasan? Saya masih keliru dengan konsep satu Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri. Mungkin kerana saya ketinggalan mengikuti perkembangan konsep yang diutarakan oleh Perdana Menteri atau kedangkalan ilmu dan pengetahuan saya memahami konsep tersebut. Dalam konteks negara berbilang kaum dan mempunyai pelbagai pola kaum (polarisasi) langkah kerajaan dalam merealisasikan hasrat murni tersebut dilihat sebagai suatu yang optimistik dan futuristik. Namun untuk mencapai hasrat murni tersebut setiap rakyat seharusnya mampu dan berusaha menghapuskan sentimen perkauman yang tebal tanpa adanya prasangka sesama sendiri. Tetapi, realitinya mampukah kita? Saya masih merindui kehidupan suatu ketika dulu di mana perasaan kejiranan dan kasih sayang dalam kelompok masyarakat berbilang kaum terus terjalin.
Di Sarawak, semangat hidup secara bersama tanpa prasangka begitu ketara dalam kalangan rakyat pribuminya. Persoalannya sekarang mengapa hubungan yang baik tersebut seolah-olah nampak semakin jauh dan semakin melebar jurangnya. Saya sendiri membesar dalam masyakat melayu dan iban dan kemampuan saya bertutur dalam bahasa iban diperolehi sejak saya kecil lagi. Bermain di rumah panjang dan terbiasa dengan tengkorak manusia yang terdapat di rumah panjang kini menjadi kenangan manis dalam kehidupan masa kecil saya.
Orang melayu di Sarawak, biasa minum kopi di kedai orang cina malah ada teman -teman dari luar Sarawak mengalami kejutan budaya melihat keadaan betapa harmoninya kehidupan masyarakat berbilang kaum di sini. Sehingga kini masih kedapatan stall makanan orang melayu dalam kedai orang cina. Saya teringat dengan pengalaman bersama atuk mencari ikan ulu di hulu sungai suatu masa dulu. Dalam perjalanan balik kami singgah bermalam di rumah sahabat atuk sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya. Apa yang saya ingat sampai kini ialah bagaimana layanan sahabat atuk (orang iban) yang menyediakan santapan malam kami dengan mengambil periuk belanga dan pinggan mangkuk dari atas padung (Ruang atas dalam rumah) semata-mata menjaga dan menghormati kami sebagai keluarga beragama islam.
Sekarang saya masih tercari-cari dan merindui keadaan seperti suatu masa dahulu di mana dalam apa jua majlis keramaian sama ada perayaan seperti Hari Raya, Gawai, melah pinang, perkahwinan dsb semua kaum tetap bersama meraikannya. Tidak dinafikan ia masih ada tetapi nilai "keindahan dan cantiknya" seperti yang pernah dirasai suatu ketika dulu semakin pudar dan hampir hilang.

No comments:

Post a Comment