Monday, September 14, 2009

Malingsia - Menilai kemelut dengan Indonesia


Pelbagai label diberi kepada negara kita disebabkan pelbagai isu yang dilihat terlalu besar oleh rakyat Indonesia. Yang terbaharu ialah isu tarian pendet. Seperti selalunya demonstrasi jalanan dan menyerang kedutaan negara di sana serta mengancam dan mengugut rakyat kita dilakukan oleh segelintir mereka yang tidak berpuas hati.
Tindakan sweeping oleh kumpulan yang membawa buluh runcing sedikit sebanyaknya mengundang resah dan ketakutan dalam kalangan rakyat kita di sana atau keluarga di Malaysia. Tertanya-tanya juga, bagaimana perasaan orang Indonesia jika bendera mereka dibakar dan dipijak-pijak oleh rakyat Malaysia? Tetapi syukur Alhamdulillah, kita tidak terikut-ikut dengan sikap yang seolah-olah tidak bertamadun seperti itu.
Rakyat Malaysia tidak sebebal dan cetek pemikiran untuk bertindak ganas seperti itu. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian sesuatu isu melalui musyawarah, rundingan biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita. Ramai lagi rakyat Indonesia yang bijak menilai dan mampu melihat sesuatu perkara itu dengan lebih rasional tanpa dipengaruhi emosi dan perasaan.
Saya juga yakin rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara ini berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Secara faktanya Malaysia merupakan lubuk rezeki bagi rakyat Indonesia dan mereka bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini untuk dibawa pulang ke Indonesia. Hubungan yang baik atas nama rumpun melayu di Nusantara seharusnya dipertahankan, bukannya dikeruhkan dengan tindakan-tindakan ganas yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Hubungan rakyat Indonesia-Malaysia jangan disempitkan atas nama dua buah negara yang berdaulat, malah lebih daripada itu, kerana sejarah mebuktikan hubungan kekeluargaan telah berlaku sejak dulu lagi.
Benarkah kerana isu tarian pendet itu rakyat Indonesia sanggup melakukan keganasan dan provokasi terhadap negara kita atau ada agenda besar pihak-pihak tertentu yang didalangi oleh mereka yang berkepentingan. Doa kita agar isu tersebut dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan semangat setiakawan antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment