Friday, September 18, 2009

Salam Idul Fitr


Salam idul fitr buat semua teman-teman dengan iringan doa tulus ikhlas moga amalan di sepanjang ramadan mubarak diterima Allah SWT. Maaf zahir batin.

Hari Raya adalah hari kita mermbesar Allah, hari kemenangan dan hari kegembiraan. Ia adalah hari yang diperuntukkan oleh Allah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan Allah yang tak terhitung kepada hambaNya. Anehnya dalam masyarakat kita Hari Raya lebih menggambarkan hari yang penuh dengan kesedihan, kepiluan dan kita sering terjebak dalam suasana sedih dan pilu tersebut. Alunan takbir raya yang seharusnya memberi semangat bertukar kepada alunanan yang mendayu-dayu dan menimbulkan suasanan sedih. Malah pengisian program di saluran TV di negara kita pun, banyak menayangkan drama dan suasana yang sedih pada hari Raya.

Di sudut hiburan pula, islam memberi ruang yang luas kepada kita untuk bergembira asalkan tidak menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Terpulang kepada kita bagaimana kita memahami dan menghayati kegembiraan tersebut.

Hiburan dengan batasan tertentu serta disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.a.:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

“Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hiburan yang keterlaluan dan melampauai batasan yang digaris agama juga tidak dibenarkan dalam islam. Saya tertarik apabila ada yang menyatakan amalan ziarah menziarahi seperti suatu ketika dahulu semakin berkurangan kesan pengaruh program hiburan yang terlalu banyak dalam TV.

Amalan kunjung-mengunjung atau ziarah menziarahi seharusnya diteruskan sebagai tanda persahabatan dan ukhuwah sesama kita. Saya masih teringat dengan zaman anak-anak dan remaja di kampung ketika hari raya dimana kami akan membentuk satu kumpulan untuk menziarahi ( istilah "berlanggar ") dari satu rumah ke satu rumah yang lain dalam kampung. Keadaan inilah yang menimbulkan suasana meriah pada hari raya. Beberapa tahun kebelakangan ini suasana tersebut semakin pudar dan kunjungan pun hanya dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.

No comments:

Post a Comment