Saturday, March 7, 2009

Buli dan keganasan dalam kalangan pelajar.


Beberapa laporan tentang masalah disiplin pelajar yang dipaparkan melalui media massa sejak akhir-akhir ini mengundang pelbagai persoalan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya para ibu bapa. Semuanya memerlukan penyelesaian yang konkrit dan segera. Nada tegas (tidak ada kompromi) Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran terhadap beberapa kejadian yang berlaku, menunjukkan betapa seriusnya kejadian yang menggusarkan masyarakat tersebut. Dalam menangani masalah disiplin pelajar, beberapa perkara perlu diambil perhatian dengan bukan sahaja melihat insiden yang telah berlaku tetapi perlu mencari apakah punca dan faktor-faktor mempengaruhi kejadian tersebut disamping mengambil tindakan pro aktif mencegah dan membendung daripada terus berulang. Persoalannya...
  • Kenapa berlakunya kepincangan pemikiran dan tingkahlaku negatif pelajar-pelajar ini?
  • Dimanakah salahnya pendekatan kita selama ini?
  • Tidak adakah satu mekanisme yang wujud untuk menyalurkan rangsangan emosi negatif pelajar-pelajar ini agar dapat dikurangkan atau kepada sesuatu yang lebih berfaedah dan masuk akal?
  • Adakah kita masih menganggap kes ini terpencil (isolated) maka tidak ada langkah bagi menanganinya secara terancang?
  • Adakah kita kurang peka dan masih dengan kata-kata penyedap telinga "ia masih dalam kawalan."

Sekadar untuk berkongsi pengetahuan dan maklumat berdasarkan dapatan Kajian tentang buli dalam kalangan pelajar,dapat diringkaskan seperti berikut;

  1. Pembuli mempunyai pencapaian akademik di bawah paras sederhana.
  2. Tidak suka dan tidak berminat ke sekolah dan menyatakan tidak pernah diberikan peluang untuk melakukan sesuatu aktiviti dalam kelas.
  3. Tidak bermotivasi
  4. Tetap pergi ke sekolah meskipun tidak suka dengan peraturan sekolah
  5. Tidak selesa berada di rumah. Berbanding dengan rumah, mereka lebih suka berada di sekolah.
  6. Mudah resah dan bosan.
  7. Latar belakang keluarga banyak mempengaruhi tingkahlaku buli.
  8. Hubungan dengan keluarga tidak baik dan tidak mesra. Merasakan ibu bapa tidak mempedulikan mereka
  9. Terpengaruh dengan pendidikan tidak formal di rumah.
  10. Banyak bersifat psikologikal

Cadangan langkah penyelesaian;

  1. Sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif perlu diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab untuk dipulihkan.
  2. Peranan sekolah amat penting dalam membentuk mental dan rohani pelajar kerana contact sosial pelajar di sekolah adalah yang kedua lamanya selepas di rumah. Atmosfera di sekolah akan menentukan kesudahan corak jiwa pelajar.
  3. Perlu satu kaedah pencegahan untuk memastikan nilai-nilai negatif ini dapat dibendung.
  4. Perlu tindakan susulan dan konsisten untuk mengurangkan masalah sebenar pelajar.
  5. Perlu pro aktif dan bersegera dalam menangani apa jua masalah disiplin.
  6. Memberi tumpuan yang lebih dalam membantu pembelajaran pelajar bermasalah. Jangan dikritik dan disisih.
  7. Mengadakan suatu stimulus yang dapat menimbulkan minat dan rasa diterima di sekolah.
  8. Memberi pendedahan kemahiran keibu bapaan kepada para ibu bapa.
  9. Guru perlu bijak mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah dan membantu menyelesaikan masalah mereka.
  10. Kembangkan sikap dan nilai-nilai murni kepada pelajar tersebut.
  11. Menilai hukuman yang dikenakan. Hukuman kebanyakannya lebih bersifat sementara dan nilai keberkesanannya.
  12. Pengasingan pelajar berdasarkan kepada pencapaian dalam peperiksaan dan merit perlu dikaji semula. Kelas sepatutnya mempunyai pelajar yang mempunyai tahap pencapaian yang berbeza agar pembelajaran dalam kalangan rakan sebaya dapat dipraktikkan.
  13. Pengasingan pelajar yang lemah dan bermasalah disiplin dalam sesebuah kelas perlu dielakkan.Pengasingan akan menyebabkan mereka merasa semakin rendah diri, tersisih dan kurang mendapat perhatian. Akibatnya jiwa mereka memberontak dan mereka lebih cenderung untuk membentuk kumpulan sesama mereka sahaja.
  14. Beri perhatian dan kasih sayang. Mereka yang selama ini hilang tempat mengadu dan kasih sayang, merasakan dengan melakukan sesuatu perkara yang negatif itu sebagai eskapisme atau melupakan segala masalah mereka atau untuk mendapat perhatian.
  15. Jangan membataskan pergaulan mereka sesama pelajar yang lemah dalam pelajaran dan bermasalah disiplin sahaja. Situasi ini akan mendorong mereka untuk bergaul sesama mereka dan akhirnya membentuk geng-geng ataupun deviant cliques. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar magnitudnya seperti buli, peras ugut, hooliganisme, gangsterisme, vandalisme dan sebagainya melibatkan bukan hanya seorang pelajar sahaja malah selalunya dilakukan dalam kumpulan.

Dalam menangani masalah yang berbangkit, peranan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat adalah perlu. Apa yang menyedihkan dan menyebabkan warga pendidik merasa terkilan, apabila timbul isu-isu berkaitan dengan masalah disiplin tak kiralah yang berlaku di sekolah atau di luar sekolah, lebih banyak jari menuding kepada guru dan pihak sekolah. Biasalah kata seorang teman, " Bila ada sesuatu yang tidak baik berlaku dalam masyarakat, guru tidak terlepas untuk dipersalahkan atau terkena tempiasnya tetapi yang elok, baik, kejayaan atau apa yang membanggakan, haram nama guru disebut." "dah nasib guru" sampuk seorang lagi teman.

2 comments:

  1. Ibu bapa seharusnya peka terhadap pendidikan anak2 dan memberi kasih sayang kepada anak2. Ibu bapa perlu mengawal pergaulan anak2 mereka kerana rakan sebayalah yang banyak mempengaruhi anak2 terutama remaja masa kini.

    ReplyDelete
  2. Semua pihak harus bertanggungjawab, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat. Masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri.

    ReplyDelete