Tuesday, March 31, 2009

Guru Berpolitik


Semasa sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, Datuk Seri Hishamuddin Hussien telah mencadangkan agar guru daripada kumpulan A dibenarkan terlibat dalam politik. Cadangan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi. Ada Pro dan Kontranya, dan setakat ini masyarakat Guru sendiri nampaknya belum membuat apa-apa respons terbuka terhadap cadangan tersebut. Dalam membuat apa-apa keputusan yang berhubungkait dengan kepentingan negara banyak perkara yang perlu diambilkira dan dipertimbangkan;
  1. Sejarah perjuangan negara ke arah kemerdekaan dahulu adalah didokongi oleh warga guru.
  2. UMNO sendiri pun tertubuh dengan kesedaran yang dipelopori dan didokongi oleh golongan guru. Begitu juga dengan Parti -Parti lain atau pertubuhan-pertubuhan yang aktif pada masa pra kemerdekaan kebanyakannya adalah terdiri daripada kaum guru.
  3. Perjuangan ke arah menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan ilmu dan perlunya perubahan dalam negara ini adalah dimulakan oleh guru.
  4. Guru pada masa itu adalah agen perubahan yang tidak dapat dinafikan peri pentingnya peranan mereka.
  5. Pendididikan pemimpin-pemimpin yang lahir selepas itupun adalah daripada inspirasi guru-guru.
  6. Pejuang-pejuang dalam kalangan guru adalah ikhlas tanpa mementingkan kepentingan peribadi. Mereka adalah penyokong dan pejuang yang setia tanpa memikir imbuhan.
  7. Kepemimpinan politik dalam kalangan guru bergerak secara serentak di setiap negeri atas kesedaran untuk berjuang bersama-sama pemimpin yang ada demi kedaulatan negara.
  8. Guru juga merupakan golongan profesional yang mampu menyumbang idea, pendapat dan kepakaran secara bersama demi negara.
  9. Guna tenaga dan fikiran guru dalam membangunkan negara tidak seharus dikesampingkan dengan menafikan mereka dalam arus politik tanah air.
  10. Isu guru dan kependidikan hanya mampu dan lebih sesuai dan mudah ditangani oleh warga guru.
  11. Profesionalisme guru bukan setakat "mengajar" malah ia adalah luas dan melebar. Guru mampu menentu corakkan masyarakat melalui sistem pendidikan dan politik adalah platform yang sesuai untuk mereka memberi sumbangan (extra) selain di sekolah.
  12. Peranan guru bukan sahaja di sekolah, malah guru juga memain peranan yang penting dalam masyarakat. Sebagai sebahagian daripada komuniti yang besar dalam masyarakat guru mampu memberi sumbangan yang berguna dan bermanfaat demi kebaikan bersama untuk masyarakat dan negara.
  13. Yang harus kita akui, tidak semua guru akan terlibat dalam politik. Terpulang kepada minat dan kecenderungan dalam kalangan guru itu sendiri.

Walaupun demikian, tidak dinafikan ada nada yang tidak sekata dengan usul daripada Datuk Seri Hishamuddin atas andaian seperti berikut:

  1. Menganggu tugas guru di sekolah. Murid akan terjejas.
  2. Pegawai daripada bidang selain daripada guru juga akan menuntut untuk dibenarkan terlibat dalam politik.
  3. Guru akan mempengaruhi pelajarnya tentang ideologi politik mereka.
  4. Mungkin taksub dengan parti yang disokong dan mewujudkan puak.
  5. Guru memang dah banyak tugas di sekolah dan dengan berpolitik akan menjejaskan dan menganggu core business guru.

# Bagi saya antara profesionalisme dan tanggungjawab sebagai penjawat awam dapat disatukan atas kesedaran kita menyumbang ke arah kepentingan negara. Sama seperti kita terlibat dalam pelbagai pertubuhan sama ada oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Cadangan ini pasti akan mengundang pelbagai pendapat dan reaksi, namun saya berpendapat tidak salah jika guru terlibat dalam politik asalkan tanggungjawab terhadap amanah kita di sekolah dapat dilunaskan dengan sebaiknya. Kerisauan yang timbul disebabkan kita hanya melihat dalam perspektif yang sempit dan tertutup. Anda bagaimana?

3 comments:

  1. Biasalah setiap cadangan pasti ada pro dan kontranya. (Rambut sama hitam, namun hati masing-masing)
    Guru dianggap permulaan menjadikan manusia ke arah berpengetahuan dan terdidik. Siapa kita hari ini adalah bermula daripada insan bergelar "Guru". Guru mampu melahirkan insan "biasa" menjadi "luar biasa". Secara peribadi saya setuju dengan cadangan oleh Menteri pelajaran itu, beri peluang kepada rakyat yang bergelar guru terlibat dalam politik. Mungkin dengan berpolitik para guru boleh menyumbangkan idea-idea yang bernas untuk kemajuan negara terutama sekali kepada generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa depan. Saya juga yakin para guru mampu menjalankan tanggungjwab dengan baik jika diberi kesempatan sebab sejarah telah membuktikannya. Kemerdekaan negara adalah cetusan idea daripada perjuang yang bergelar 'guru'. Guru sebenarnya bersifat "profesional" kerana sanggup menjadi 'saya yang menurut perintah' walaupun dihujani pelbagai masalah.

    ReplyDelete
  2. sememangnya kita semua sedar akan peranan dan pengaruh guru dlm pembentukkan minda dan persepsi masyarakat khasnya anak didik.

    sekiranya warga pendidik diberi peluang utk terlibat dlm politik, maka satu garis panduan yg spesifik hendaklah dibuat bagi menghalang guru menyalahgunakan pengaruh mereka terhadap anak didik mereka.

    kita tidak mahu isi pelajaran nanti diselit dgn kandungan anti kerajaan atau penyebaran dakyah yg bertentangan dgn etika perguruan.

    samada guru wajar diberi peluang utk berpolitik, "tepuk dada tanya selera".

    ReplyDelete
  3. Thanks for visiting my blog. Informative blog u have here. Visit me again....

    ReplyDelete