Sunday, April 12, 2009

Kecerdasan Emosi (EQ) - Takrifan Asas


Istilah EQ mula diperkenalkan oleh dua orang ahli psikologi, iaitu Peter Salovey dan John Mayer. Kemudian takrifan EQ dikembangkan lagi oleh Daniel Goleman. Menurut Salovey dan Mayer (1990), EQ didefinisikan sebagai keupayaan untuk mengawal perasaan dan emosi sendiri dan orang lain, membezakan antara kedua-duanya dan boleh menggunakan maklumat tersebut untuk memandu pemikiran dan tindakannya.
Di antara ciri-ciri EQ ialah:

  • Kebolehan mengetahui emosi sendiri
  • Kebolehan dalam pengurusan emosi
  • Kemahiran meningkatkan motivasi diri
  • Kebolehan mengawal emosi orang lain
  • Kebolehan menjalinkan persaudaraan.

Sementara Goleman (1998) mentakrifkan EQ sebagai kebolehan untuk mengenal pastikan emosi diri dan orang lain, untuk memotivasi diri kita dan menguruskan emosi dengan baik dalam diri kita serta pembinaan hubungan antara perseorangan yang dapat dikategorikan kepada 5 dimensi EQ seperti.

  1. Kesedaran diri (Self-awareness) - mengamati diri dan mengenali perasaan diri sendiri; mengetahui hubungan antara fikiran, perasaan dan reaksi.
  2. Kawalan diri (Self-regulation) - mengurus keadaan, desakan dan sumber dalaman seseorang.
  3. Motivasi diri(motivation) - Kecenderungan emosi yang memimpin atau memudahkan pencapaian matlamat.
  4. Empati (emphaty) - Memahami perasaan dan masalah orang lain dan berfikir dari sudut pandangan mereka; menghargai perbezaan perasaan orang mengenai pelbagai hal.
  5. Kemahiran sosial (Social skills) - Kemahiran berkomunikasi dan keupayaan untuk membantu orang lain menguruskan emosinya.

Menurut Goleman(1995), EQ yang dikaitkan dengan pengalaman tertentu yang diperolehi dalam membentuk trait yang positif dan negatif. EQ/EI dapat dibahagikan kepada 4 aspek iaitu:

  • Penilaian dan ekspresi emosi
  • Emosi dan proses membuat keputusan
  • Pengetahuan mengenai emosi
  • Pengurusan emosi

Definisi EQ yang diberikan Murray (1998) pula, menunjukkan bahawa EQ merupakan satu kebolehan untuk mengekang perasaan atau emosi negatif seperti marah dan ragu-ragu serta memfokuskan kepada perasaan positif serta keyakinan diri.

Selain itu McGarvey (1997) menyatakan terdapat 4 kebolehan yang harus dimiliki untuk meningkatkan EQ seseorang individu, iaitu kebolehan untuk mengawal dorongan, emosi, berada dalam keadaan bermotivasi walaupun menghadapi kekecewaan dan berempati dengan orang lain. Sehubungan itu, EQ merupakan kebolehan untuk merasai, memahami dan mengaplikasikan secara berkesan kuasa dan penilaian yang baik terhadap emosi yang merupakan sumber tenaga, informasi, perhubungan dan pengaruh manusia (Cooper Sawaf,1997).

Secara ringkasnya, dalam konteks organisasi EQ boleh ditakrifkan sebagai satu mekanisme atau keupayaan dalaman seseorang individu yang wujud untuk mengurus dan mengawal perasaannya (pengurus) dan juga orang lain (pekerja) disamping memberi dorongan positif ke arah mewujudkan satu perhubungan manusia yang dapat membawa kepada pencapaian matlamat bersama serta keberkesanan organisasi.

3 comments:

  1. Menarik. Pokok pangkalnya, mentadbir hati. Bagaimana pula ESQ? Selalu dengar akhir2 ini.

    ReplyDelete
  2. Sdri Intan, saya pun tertarik dgn ESQ dan ada sedikit rasa kekesalan kerana tidak berkesempatan untuk mengikuti kursus tersebut yang diadakan di Kuching baru-baru ni (10-12 Apr). Saya cuba mendapat maklumat tentang ESQ(Kecerdasan Emosi dan spritual). Secara asasnya ESQ akan memandu seseorang dlm membangunkan prinsip hidup dan kepribadian berdasarkan ESQ Way 165.Angka 165 merupakan simbol 1 hati yang ehsan, 6 prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan 6 langkah kejayaan yg berdasarkan Rukun Islam. Pada masa yg sama, ada yang mperkenalkan R' ESQ oleh motivator tempatan.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.

    Saudara yang ingin mengetahui tentang ESQ itu kena rujuk kembali fatwa Majlis Muzakarah Malaysia. Kabarnya terdapat unsur-unsur yang menggelirukan dalam Modul latihan yang diberikan selama tiga hari. Ana tak pasti pula tentang perkataan'menggelirukan' tu, iaitu sampai ke tahap mana yang menggelirukan tu, aspek-aspek mana yang menggelirukan, apakah boleh sampai jejas akidah! Maknanya, saudara kenalah merisik dulu dan bertanya dengan orang benar-benar mengetahui. Kata orang yang dah pergi dan laman web. Mufti wilayah, ada istilah yang jejas akidah seperti God Spot, Suara Hati, Zero Mind Process yang ada kaitan dengan Islam Liberal. Berat tu...sekian, wassalam.

    ReplyDelete