Friday, April 10, 2009

Kesempatan & Peluang...

"Kalau saya berpeluang atau diberi peluang, diberi kesempatan dan berada pada masa yang betul, tempat yang betul sayapun boleh berjaya seperti mereka yang berjaya pada hari ini."


Ungkapan ini mengingatkan saya dengan keadaan kampung saya suatu ketika dahulu. Membandingkan keadaan sekarang dengan 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun yang lalu, saya amat bersyukur sekurang-kurangnya saya masih dapat mengingati jejak-jejak pembangunan yang dilaksanakan oleh pemerintah. Secara jujurnya saya melihat tidak banyak pembangunan dilaksanakan pada kaca mata saya. Malah nafas pembangunannya berdegup agak perlahan. Mungkin penilaian saya ini sedikit bias kerana saya membesar di ibu kota tetapi setiap cuti sekolah saya tetap balik ke kampung.

Alhamdulillah, sesekali balik menjeguk keluarga dan saudara mara, banyak kenangan yang tersingkap dan ia sering menggamit rindu untuk pulang. Lebih membanggakan taraf pendidikan anak-anak kampung dapat ditingkatkan dan ramai yang mendapat pekerjaan yang "bagus". Kalau dulu ukuran "pandai" atau "bernasib baik" atau "bertuah" seseorang itu dinilai apabila seseorang itu bekerja dengan kerajaan atau istilah orang kampung "kerja perintah." Semua ini berlaku kerana yang mendapat kerja kerajaan itu tadi dapat dibilang dengan jari jumlahnya. Jauh bezanya sekarang dan keadaan ini begitu ketara apabila saya berpeluang untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan seperti pada Hari Raya Aidilfitri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan setiap rumah di kampung pasti ada sekurang-kurangnya sebuah kereta.

Bagi saya semua yang berlaku ini apabila kesedaran terhadap pendidikan anak-anak semakin tinggi dalam masyarakat kampung. Mendengar cerita saudara mara tentang keadaan kampung suatu ketika dulu, ia benar-benar menginsafkan saya. Apa tidaknya, dulu, sekolah rendah yang ada pun tidak cukup kelas dan guru. Kelas yang di sekolah pun terpaksa dibuat secara berselang tahunnya. Maksudnya, dalam tahun-tahun tertentu kelas yang ada mungkin hanya ada kelas darjah 1, darjah 3 dan darjah 5 sahaja. Nak menyambung persekolahan ke darjah 6 misalnya terpaksa pergi ke tempat lain yang mengundangkan banyak lagi masalah seperti sekolah yang jauh, naik bot 6 - 8 jam perjalanan, perbelanjaan, tempat tinggal, berpisah dengan keluarga dan banyak lagi yang "tak tercapai oleh akalku". Kalau lah pada peringkat sekolah rendah begitu keadaannya, bayangkan bagaimana pula nak ke sekolah Menengah. Apalagi pada masa itu pendapatan orang kampung hanya berkerja sebagai nelayan, buruh kuari, pekerja kilang papan, kerja kayu balak, petani dan kerja-kerja kampung tidak mampu untuk menghantar anak ke "negeri" orang. Bagi yang "kuat," berkemampuan dan berpandangan jauh akan melakukan apa saja untuk anak-anak. Selebihnya, lebih ramai yang tercicir dan berhenti setakat itu sahaja. Tersekat akibat ketidak-upayaan dan kemiskinan yang sentiasa mencengkam kehidupan penduduk.

Dalam pada itu, bagi mereka berhijrah, keluar dari kampung mencuba nasib dan mencari rezeki ke kota, anak-anak mereka inilah, banyak yang berjaya dan membuka mata dan minda orang kampung untuk mengorak langkah yang sama demi pendidikan anak-anak mereka. "Keadaan sekarang jauh berubah" kata udak (panggilan untuk emak saudara), "kita boleh berbangga sudah ramai anak kampung ini yang telah berjaya belajar sampai ke Universiti", sambung Usu Ali. Memang tidak dinafikan ramai yang berjaya seperti dalam bidang profesional, ahli politik dan ahli perniagaan.

Dalam diam-diam, dengan penuh keinsafan dan rasa syukur, saya akui saudara maraku di kampung suatu waktu dahulu memang terperangkap dalam ketidakupayaan, tidak berpeluang dan tidak ada kesempatan.



No comments:

Post a Comment