Thursday, January 22, 2009

Mengelak Konflik - ( pesan seorang teman )

Di antara perkara-perkara yang perlu dibuat oleh setiap pengurus pendidikan bagi meningkatkan perhubungan manusia dan mengelakkan tercetusnya konflik ialah:

  1. Jangan sekali-kali merendahkan imej orang lain - Manusia mempunyai perasaan dan harga diri. Tiada seorang pun yang suka dirinya dipanggil "bodoh" atau "tidak "berkelayakan" atau apa-apa perkataan yang mempunyai maksud menghina dan merendah-rendahkan seseorang. Anda mungkin boleh menegur perbuatan atau perlakuan seseorang tetapi pastikan tidak menggunakan perkataan yang boleh menguris perasaan dan menjatuh maruah mereka di mata rakan sekerja lebih-lebih lagi di hadapan pelajar. Gunakan cara dan frasa-frasa yang sesuai. Sebagai contoh: "Ketidakupayaan cik gu menyiapkan kerja ini amat mendukacitakan".
  2. Jangan mengkritik orang lain di hadapan khalayak ramai - Perbuatan ini amat memalukan seseorang dan sering berlaku dalam mesyuarat oleh pihak pengurus yang autokratik dan amat rendah tahap hubungan manusianya. Kadangkala ia dilakukan oleh seorang pengurus yang mengalami tekanan emosi dan kekecewaan yang tinggi. Perasaan geram yang memuncak-muncak dilepaskan kepada orang lain.
  3. Jangan lupa menunjukkan perhatian anda sebagai pengurus kepada orang bawahan walaupun sekali-sekala - Sebagai seorang pengurus di sekolah atau di mana-mana Institusi pendidikan, anda tidak seharusnya menghabiskan masa di dalam pejabat sahaja. Tugas anda yang lebih besar ialah di luar pejabat, iaitu mengelola, merancang, menyelia, memberi kepimpinan kepada guru, staf sokongan dan murid khususnya. Oleh yang sedemikain, anda seharusnya memberi perhatian kepada mereka dari semasa ke semasa untuk meninjau masalah, memberi tunjuk ajar, khidmat nasihat dan panduan. Bertanya khabar kepada mereka dapat menjalinkan perhubungan manusia yang erat walaupun dilakukan sekali-sekala.
  4. Jangan biarkan orang menganggap pengurus pendidikan sebagai orang yang tidak mempedulikan hal kebajikan orang bawahan.- Hal kebajikan orang bawahan perlu diambil tahu oleh seseorang pengurus yang baik dan prihatin. Bertanya khabar, berkongsi perasaan (Suka dan duka) akan memberi impak yang kukuh dalam perhubungan manusia antara pengurus dan orang bawahan. Contoh membina perhubungan yang baik ini ialah seperti menziarahi kematian, menghadiri kenduri atau menghadiri keramaian, mengucapkan selamat hari jadi serta bertanyakan hal keluarga menunjukkan bahawa anda mengambil berat kebajikan ahli-ahli di dalam organisasi anda.
  5. Jangan amalkan sikap pilih kasih. - Pilih kasih akan jelas kelihatan di dalam usaha anda melakukan penyeliaan, pengagihan tugas, pemilihan calon untuk perkembangan staf/kursus, pemberian jadual waktu harian dan jadual gantian dan sebagainya. Yang paling dirasai oleh guru-guru ialah pemilihan calon penerima Anugerah cemerlang. Ia akan menampakkan kelemahan pihak pengurus dan menjadi kesalahan yang tidak boleh dimaafkan oleh segolongan besar ahli organisasi yang menjadi mangsa. Sebarang tindakan haruslah adil dan setiap orang harus dinilai atau diberi ganjaran atas kebolehan, keupayaan, kejayaan yang benar-benar dicapai dan usaha yang disumbangkan kepada organisasi.
  6. Membantu orang bawahan memajukan diri dan meningkatkan diri dalam kerjaya mereka. - Pada ketika ini pelbagai program perkembangan dan peningkatan diri dalam pendidikan atau kerjaya disediakan oleh Kementerian Pelajaran melalui Institusi Pendidikan Guru, IPTA dan IPTS. Jangan menghalang guru untuk meningkatkan kerjaya mereka kerana ini akan menjejaskan masa depan dan kenaikan pangkat seseorang itu pada masa akan datang. Sepatutnya seorang pengurus yang baik akan menggalakkan dan memberi sokongan kepada orang bawahan mereka untuk memajukan diri. Galakan tersebut pasti memberi impak dan rasa hormat terhadap pengurus sekolah kerana ia dilihat sebagai orang yang tidak mementingkan diri sendiri.
  7. Jangan mendengar khabar angin dan fitnah. - Khabar angin dan fitnah amat merbahaya dan meruntuhkan segala hubungan manusia dalam kalangan ahli-ahli organisasi. Sekiranya berlaku sesuatu masalah, sebagai pengurus pendidikan, anda seharusnya peka dan menyiasat sendiri punca masalah sebelum sesuatu keputusan dan tindakan diambil. Mempercayai apa yang orang lain cakap tidak mencukupi. Kemungkinan besar disebabkan sumber maklumat itu tidak sahih, maka keputusan dan tindakan yang anda buat juga tidak akan betul. Oleh yang demikian anda harus berhati-hati dengan khabar angin dan jauhi diri daripada fitnah.
  8. Jangan marah atau mengutuk seseorang itu di belakang atau pada orang lain. - Perkara ini sering berlaku kerana si pengurus mungkin tidak berani berdepan atau bersemuka dengan orang yang dimarahinya. Bagi mengelak konfrantasi yang terbuka, maka seseorang yang dianggap bersalah itu dikutuk dan dihina di belakangnya. Mangsa situasi tersebut sebenarnya tidak dapat membela dirinya kalau terus dikutuk tanpa kehadirannya. Hal ini harus dielak kerana tidak ada apa-apa yang dapat diselesaikan. Sekiranya berlaku masalah, orang yang dianggap bersalah harus ditemui dan dibawa berbincang dengan cara baik serta hati yang terbuka. Bagi menjamin perhubungan manusia yang baik, perbincangan harus dilaksanakan dengan tenang dan tidak mengikut emosi dan nafsu marah. Berterus terang dan mendapat maklumat yang betul serta lengkap amat penting bagi mengatasi sebarang masalah.


3 comments:

  1. Leadership...consists of the principles, skills, and attitudes that harness and integrate knowledge, trust and power.
    So.....,
    A good leader is not the person who does things right, but the person finds the right thing to do.Leaders must be close enough to relate to others, but far enough ahead to motivate them.

    The most important quality in a leader is that of being acknowledged as such.
    And.......
    The prime function of a leader is to keep hope alive.

    ReplyDelete
  2. Leadership is the capacity to translate vision into reality.

    ReplyDelete
  3. Pandang ke dalam diri apa yang kita suka orang lakukan pada kita...
    Iboh molah apa yang kita sik suka orang molah kat dirik kita.
    fikir2kan & renung2kanlah.

    ReplyDelete