Saturday, January 3, 2009

Nangga Wayang - Imbau dan gamit kenangan

Kesempatan dan peluang bersama anak-anak menonton filem di sebuah Cineplex baru-baru ini (tiket free) tidak dilepaskan begitu sahaja. Filem Brainscan: Aku dan Topi Ajaib sentuhan kreatif sutradara Ahmad Idham cukup menarik dan sesuai untuk anak-anak sebagai hiburan ringan dan santai. Tidak seperti pawagam suatu masa dulu, Cineplex menempatkan beberapa buah bilik tontonan dengan menayangkan beberapa buah filem pada satu-satu masa. Mengimbas kembali zaman remaja (Bujang Kerak) banyak kenangan manis yang membuat saya tersenyum sendirian. Tergambar di ruang mata bagaimana saya bersama teman-teman berebut-rebut beratur untuk mendapat tiket barisan belakang bagi tiket berharga 50 sen. Seingat saya ada 3 ruang tempat duduk dalam pawagam pada masa itu dengan harga tiket yang berbeza. Paling mahal ialah "Reserve seat"dengan harga RM2.50. Peluang keluar hujung minggu selalunya tidak dilepaskan untuk nangga wayang. Sekarang semuanya hanya tinggal kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan memori indah. Kadangkala terbit rasa yang sukar ditafsirkan apabila teringat tapak panggung wayang yang sudah berubah wajah dan tinggal tapak sahaja. Sekarang panggung Cathay dijadikan gerai minuman dan kedai menjual pakaian. Panggung Miramar bertukar menjadi bangunan pejabat. Panggung Odeon sudah diroboh dan sekarang di tapaknya ialah Kompleks membeli-belah Tun Jugah. Panggung Rex juga sudah diroboh dan sekarang menjadi pusat membeli-belah termasuk cineplex dan medan letak kereta. Panggung Swee Hua di Satok pula sehingga kini masih tinggal tapak sahaja selepas diroboh. Satu lagi panggung (dah lupa namanya) terdapat berdekatan dengan kedai ais krim Sunny Hill yang popular di Jalan Kereta api. Saya juga teringat suasana di kampung sebelum wayang dimainkan pada sebelah malamnya. Seseorang akan ditugaskan untuk menjaja iklan wayang dalam kampung yang lengkap dengan gambar-gambar adegan yang menarik pada papan iklan wayang. Teringat juga dengan "Midnight show" dan tayangan pukul 10.00 pagi dipanggung Swee Hua setiap Ahad.

6 comments:

  1. Tahniah, anda seorang ayah yang prihatin yang dapat menggunakan masa sebaik mungkin dengan keluarga.Menyentuh tentang pawagam yang telah ditelan zaman tersebut, saya teringat zaman kanak-kanak dahulu kala. Ketika itu salah satu bentuk hiburan yang moden terdapat di kampung ialah menonton wayang gambar. Walau bagaimanapun istilah wayang gambar belum wujud ketika itu. Istilah yang digunakan ialah "wayang tukis". Hiburan seperti ini adalah bermusim. Tauke wayang tukis hanya datang pada musim tertentu saja seperti ketika menyambut Hari Raya. Pada zaman tersebut kita sering mengambil peluang untuk menjaja iklan wayang tukis keliling kampung. Upahnya ialah dapat masuk percuma. Jika tidak berbuat demikian, bayar masuk ialan 10 sen sahaja. Ini sekadar nak kongsi pengalaman saja.

    manja matang

    ReplyDelete
  2. Teringat saya dengan wayang pemesen (istilah orang kampung).Sekarang diperkenalkan semula iaitu wayang pacak.

    Kota Samarahan

    ReplyDelete
  3. cerita lucu masa masuk panggung.Masa masuk panggung gelap dan teraba-raba mencari kerusi yang nak di duduki..tiba2 eh apa yang lain aja rasanya dari cover kerusi ni..ops rupanya teraba leher penonton lain...he..he malu.

    ReplyDelete
  4. Nasib baik kena kat leher, kalau teraba kat tempat sensitif kan naya.

    ReplyDelete
  5. Waktu sekolah dolok,sanggup eskep,kotan nak nangga wayang.Sampea sorang kawan ya nyangkut idungnya didawey kawat pagar sekolah.Bepupu duit pake mbeli tiket.Sik kire cerite ape,asal nangga wayang.

    -Mbirat

    ReplyDelete
  6. Teringat masa sekolah. Dah sik ada agik sekolah ya. Nama sekolah ya masih ada tapi tempat lamaknya tinggal tapak nya ajak gik. Maklum dah tingkatan 6, rasa dirik mpun dah bujang na. Sanggup mintak kebenaran dengan chief warden ( Cik gu M). Ni lah cikgu ya nak merik kebenaran nangga wayang midnite show. Turun juak nyuruk pagar belakang asrama tepi jalan ya. Nang nakal o, tapi sik ngaco orang. Kadangkala terfikir juak kenak anak murid kita nakal dan berolah. Balasan Tuhan lah ya.

    ReplyDelete