Thursday, January 8, 2009

Pemimpin dan Kepimpinan/kepemimpinan

Seringkali kedengaran suara-suara nakal dan sumbang seperti "susahlah bos selalu tidak ada", "Bos tu bukan mahu datang walaupun dijemput". " U ingat dia faham ke apa masalah kita", "Aku buat semua ni pun kerana terpaksa"."Kalau nak jumpa pun tengok cuaca dia."
Melihat senario begini yang sering berlaku disekeliling kita, saya tertarik untuk membuat sedikit catatan ringkas berkaitan dengan kepimpinan.
Kepimpinan ialah sejenis tingkahlaku yang bertujuan mempengaruhi individu-individu lain supaya mereka sanggup dan secara sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh individu yang memimpin. Para pemimpin adalah individu-individu yang mempunyai keupayaan mendorong individu-individu lain supaya patuh dengan secara rela hati, iaitu tanpa tekanan ataupun paksaan. Bagaimana pun apabila timbulnya suara-suara seperti di atas, keadaan tersebut seolah-olah menunjukkan berlakunya ketidakserasian dan seterusnya akan merencatkan hubungan individu yang memimpin dan yang dipimpin. Menurut McGregor, terdapat empat faktor yang mempengaruhi perhubungan antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpinnya.
  1. Ciri-ciri peribadi si pemimpin.
  2. Sikap, keperluan dan ciri-ciri peribadi mereka yang dipimpin.
  3. Sifat-sifat organisasi yang dipimpinnya seperti matlamat, strukturnya, dan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan.
  4. Persekitaran sosial, ekonomi dan politik yang ada.

Menurut Mc Gregor lagi, Kepimpinan bukannya ciri-ciri yang ada pada diri seseorang individu, melainkan ia suatu perhubungan yang rumit dan kompleks antara keempat-empat faktor di atas. Ini bermakna, bukan pemimpin sahaja yang mempengaruhi sikap dan tingkahlaku orang-orang yang dipimpin, tetapi sikap dan tingkahlaku orang-orang yang dipimpin juga mempengaruhi sikap dan tingkahlaku si pemimpin. Ini kerana pemimpin wujud kerana adanya pengikut, lagipun tanpa pengikut siapakah pula yang hendak dipimpin? Harus diakui, cara seseorang itu berfikir, sikap dan tingkahlakunya mudah dipengaruhi oleh kehadiran individu-individu lain. Setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinannya masing-masing dan perbezaan gaya kepimpinan inilah yang memberi kesan penting kepada mereka yang dipimpin.

Salah satu soalan yang sering ditanyakan ialah; Adakah kebolehan memimpin merupakan bakat semula jadi atau kemahiran-kemahiran memimpin itu boleh dipelajari? Salah satu teori kepimpinan yang popular ialah "teori orang besar". Teori ini mengatakan para pemimpin memang dilahirkan dengan mempunyai ciri-ciri atau aura yang membezakan mereka daripada individu-individu biasa. Ertinya, para pemimpin memang sejak mereka dilahirkan sudah memiliki ciri-ciri seorang pemimpin. Dapatan kajian menjelaskan terdapat dua faktor yang mempengaruhi keberkesanan kepimpinan iaitu (a) ciri-ciri peribadi seseorang pemimpin dan (b) tingkahlaku dan perbuatan pemimpin.

Antara sikap dan tingkahlaku pemimpin yang sangat penting dan mampu memberi impaks positif dalam organisasi yang dipimpin oleh mereka ialah:

  1. Memberikan tanggungjawab, kuasa dan kebebasan secukupnya kepada mereka yang dipimpin supaya dapat menjalankan tugas-tugas mereka dengan lancar dan betul.
  2. Bersikap penuh timbang rasa kepada mereka yang dipimpin.
  3. Menetapkan arah dan hala tuju yang betul supaya semua pihak jelas ke mana matlamat yang mereka mesti tuju.
  4. Menetapkan standard mutu kerja yang tinggi. ( sekarang popular dengan istilah KPI)
  5. Selalu memberikan maklum balas akan hasil dan mutu kerja mereka yang dipimpin.
  6. Mendorong mereka yang dipimpin supaya selalu bersepakat dan bekerjasama.
  7. Memberi perangsang, ilham dan inspirasi kepada mereka yang dipimpin.
  8. Memberi dukungan emosi kepada mereka yang dalam keadaan sedih ataupun bimbang.
  9. Bersikap sebagai jurulatih (Pembimbing) yang sentiasa memberi bantuan dan dorongan.
  10. Selalu menggalakkan mereka yang dipimpin supaya yakin kepada diri sendiri.

2 comments:

  1. Kepimpinan bukannya satu kedudukan.Anda bukan seorang pemimpin disebabkan mempunyai pangkat sebagai seorang pengurus. Kepimpinan adalah sesuatu yang kita perolehi daripada pengikut kita dari hari ke hari.

    Kepemimpinan adalah keupayaan untuk menukarkan wawasan menjadi kenyataan.Fungsi sebenar kepemimpinan adalah untuk menghasilkan lebih banyak pemimpin, bukannya lebih banyak pengikut. Kunci ke arah kepemimpinan yang berjaya pada hari ini adalah pengaruh bukannya kekuasaan.Justeru itu, seorang pemimpin yang baik bukannya seseorang yang melakukan sesuatu kerja dengan betul, tetapi seseorang yang melakukan kerja yang betul untuk dilakukan.
    Pemimpin harus berada cukup dekat untuk berhubung dengan orang lain, tetapi cukup jauh di hadapan untuk memotivasikan mereka.

    ReplyDelete
  2. Untuk menjadi pemimpin yang berjaya bermula dari diri anda sendiri.Pimpinlah diri anda sebelum anda memimpin orang lain.

    ReplyDelete