Wednesday, January 7, 2009

Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan 2009 - Guru memang bersedia

Peranan sekolah untuk mentaksir murid dan pelajar mereka akan diperluaskan di bawah Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan 2009. Ketika ini 500 buah sekolah telah dipilih sebagai sekolah rintis dan ia akan mula dilaksanakan dalam sistem pendidikan menjelang 2010. Meneliti secara sepintas lalu elemen yang terdapat dalam Transformasi Pentaksiran yang dicadangkan, sedikit sebanyaknya ia menuntut semua warga pendidik untuk lebih bertanggungjawab dan profesional. Dalam erti kata lain, guru yang sebagai agen perubahan dalam masyarakat akan memastikan setiap anak didiknya mendapat pentaksiran secara menyeluruh. 3 elemen utama yang terangkum dalam Transformasi yang dilaksanakan ialah:

  1. Empat Konstruk yang ditaksirkan meliputi Profil murid, Pencapaian, Perkembangan dan Penyertaan.
  2. Lima kaedah pentaksiran akan digunakan untuk mengumpul data dan maklumat murid melalui Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Peperiksaan Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani & Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.
  3. Lima aspek perkembangan murid akan menjadi tumpuan pelaporan pentaksiran iaitu Potensi, Akademik, Sosial, Sahsiah dan Kebudayaan.

Perubahan atau penambaikan dalam sistem pendidikan di negara kita bukanlah perkara baru dan asing bagi warga pendidik. Saya bukan hendak memfokuskan perbincangan tentang Transformasi yang dilakukan tetapi lebih menjurus kepada peranan dan tanggungjawab guru yang semakin mencabar masa kini. Dalam menangani apa jua isu yang berkaitan dengan masyarakatpun, peranan guru tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Guru lah yang diharapkan dapat dan mampu untuk berhadapan dengan semua isu sosial yang timbul dalam masyarakat kita. Dalam masa yang sama selain tuntutan masyarakat yang perlu dipenuhi, guru juga sering menjadi mangsa tudingan jari masyarakat apabila berlakunya kepincangan dalam masyarakat khususnya yang melibatkan generasi muda dan remaja. Meskipun beban tugas semakin berat dan mencabar, guru tetap melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik. Berilah apa jua tugas dan tanggungjawab pun, guru tidak akan menolak. Semuanya dilakukan atas sifat dan namanya ..... Cik gu.

1 comment:

  1. Terima kasih di atas maklumat.....

    Profesion guru lebih daripada sekadar mengajar dan mendidik, tetapi amanah menjadikan seseorang itu manusia sebenar di sisi Allah.

    Kepada para guru, jadikanlah tugas mendidik sebagai tugas yang memerlukan ketabahan, kesabaran dan rasa tanggungjawab sepenuhnya.
    ~ Guru umpama garam - suatu bahan yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia tetapi harganya murah.
    ~ Guru itu umpama lilin sebagai pembakar diri yang menggalas kerjaya mulia menyebarkan ilmu pengetahuan.
    ~ Justeru para guru perlu sentiasa bersedia menambah pengetahuan di dada.Guru perlu berilmu kerana tugas hakikinya menyampaikan ilmu kepada anak didik. Maka, jika guru itu kurang berilmu atau cetek pengetahuan, bagaimana pula hendak dicurahkan kepada anak didik?.
    Semoga pengetahuan seluas sungai akan menjadi lautan yang tidak akan kering untuk disalurkan kepada ramai orang.
    ~ " Ilmu milik kita hanya setitis daripada air di lautan "~ Buat renungan dan Lu fikirlah sendiri...

    ~ Adzma ~

    ReplyDelete