Monday, January 5, 2009

PLKN - Cerita seorang ayah

Ketika asyik melihat panorama kesibukan dan ragam warga kota di sebuah gedung membeli belah di bandar raya Kuching, saya agak terkejut apabila disapa oleh seorang lelaki yang memegang bahu dari belakang sambil memberi salam. Dalam kebingungan saya cuba mengingat siapa lelaki tersebut dan rasanya inilah kali pertama kami bersua dan berkenalan. Kami rancak berbual seolah-olah saling mengenali. Perbualan pada mulanya tentang kerja, cuaca, harga minyak kemudiannya beralih tentang anak gadisnya yang mengikuti PLKN. Menurutnya anak gadisnya menghidap penyakit asma yang agak serius. Pada mulanya beliau cuba menghalang anaknya untuk mengikuti PLKN namun hasratnya terpaksa dilupakan kerana bimbang tindakan mahkamah akan diambil jika gagal melapor diri di Pusat PLKN yang ditetapkan. Timbul persoalan dalam fikiran saya, apakah tidak ada kelonggaran syarat bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti yang dihidapi oleh anak gadis tersebut. Kalau Diana Danielle( artis) dapat meyakinkan kontraknya dengan sebuah syarikat perfileman begitu penting kepada pihak PLKN, apakah tidak ada ruang untuk gadis tersebut untuk menangguh atau dikecualikan terus daripada mengikuti PLKN. Tentu ramai yang masih ingat tragedi seorang anak muda dari Perlis yang dihadapkan ke mahkamah kerana gagal melapor diri di Pusat PLKN semata-mata atas tanggungjawab menyara ibu dan adik-adiknya dengan mengambil upah kerja di sawah. Lebih mengharukan ibu dan adik-adiknya tidak akan makan apa-apa sekiranya dia tidak bekerja selama 3 bulan untuk mengikuti PLKN. Begitu juga dengan seorang ibu yang baru bersalin terpaksa berpisah dengan anaknya kerana risau dikenakan tindakan tegas oleh pihak PLKN. Bayangkan pada saat seorang bayi yang masih menyusu ibunya dan perlu jagaan rapi dengan penuh kasih sayang ditinggalkan semata-mata kerana PLKN. Kalau dibandingkan dengan Diana Danielle, mereka mempunyai alasan yang jauh lebih kukuh tetapi apabila Dania Danielle diberi kelonggaran saya keliru kerana seolah-olah wujud layanan yang berbeza terhadap individu-individu tertentu. Dalam diam saya akui, kadangkala beruntungnya sesiapa yang ada nama. Meminjam kata Nabil Raja Lawak, Lu fikirlah sendiri.

1 comment:

  1. Itulah lumrah hidup.....
    'Orang yang kaya dan ada nama bukannya orang yang memiliki kekayaan dan nama tetapi orang yang menikmatinya'.

    Tetapi..........
    Tidak ada satu kedudukan pun yang akan selamat dan tidak ada satu pencapaian pun yang akan kekal kecuali ia dibina atas kebenaran dan keadilan.
    Fikir-fikirkanlah, buat renungan bersama

    ~ Adzma ~

    ReplyDelete